
Jangan benar anak bawah 13 tahun daftar akauan media sosial
Ibu bapa digesa mengawasi anak-anak berusia bawah 13 tahun supaya tidak mendaftar akaun media sosial, selaras dengan penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 yang akan berkuat kuasa mulai 1 Januari depan.
Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi, Nik Kamaruzaman Nik Husin berkata larangan penggunaan media sosial terhadap golongan tersebut perlu dipatuhi bagi menjamin keselamatan serta kesejahteraan masa depan kanak-kanak.
Beliau menegaskan, pengawasan ibu bapa hendaklah dilaksanakan secara lembut namun tegas bagi memastikan anak-anak tidak terdedah kepada risiko ancaman siber.
Nik Kamaruzaman berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Kempen Internet Selamat peringkat Terengganu di sini, hari ini.
Menurutnya, pelaksanaan Kempen Internet Selamat di Terengganu menunjukkan perkembangan positif apabila berjaya diperkasakan di 435 buah sekolah melibatkan lebih 14,300 pelajar, sekali gus mencerminkan komitmen tinggi negeri itu dalam pendidikan keselamatan digital.
Berdasarkan rekod, Terengganu antara negeri paling proaktif dalam melaksanakan pendidikan keselamatan digital, khususnya dalam kalangan pelajar sekolah.
Selain warga emas, kanak-kanak dikenal pasti sebagai antara golongan paling berisiko terdedah kepada ancaman siber, termasuk penipuan dalam talian, gangguan seksual dan penyalahgunaan maklumat peribadi.
Seorang bapa, Mohd Hanafiah Ismail berkata, kempen berkenaan bukan sahaja berfungsi sebagai langkah pencegahan penyalahgunaan internet, malah memberi manfaat besar kepada masyarakat melalui pendekatan pendidikan yang positif.
Sementara itu, Siti Mariam Hamzah berharap kerajaan dapat mempergiatkan lagi pelaksanaan Kempen Internet Selamat bagi memastikan keselamatan kanak-kanak dalam penggunaan teknologi digital.
Pandangan sama dikongsi Mohd Zamri Mat Bidin yang menyifatkan pendedahan awal kepada murid dan ibu bapa sebagai nilai tambah dalam mendidik anak-anak menghadapi cabaran dunia digital.
Seorang guru, Dr. Quek Soh Theng menegaskan kepentingan pendedahan berhubung bahaya pautan mencurigakan dan tidak pasti, serta menyarankan kempen tersebut dilaksanakan secara berterusan dari peringkat sekolah rendah hingga institusi pengajian tinggi.-15/12/2025



