
Kempen Internet Selamat, lindungi diri daripada jenayah digital
Kempen Internet Selamat wajar diperluas, berikutan peningkatan jenayah digital yang semakin canggih.
Menurut Editor Pusat Media dan Perhubungan Awam serta Pensyarah Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia, Dr Miharaini Md Ghani, kempen tersebut sangat relevan terutama selepas kemunculan teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Keselamatan digital bukan hanya bergantung kepada teknologi, tetapi juga tahap kewaspadaan pengguna,” katanya kepada RTM.
Dr Miharaini menekankan, kempen ini membantu orang ramai menjadi lebih peka dalam mengenal pasti penipuan, melindungi data peribadi, serta bertindak sewajarnya jika menjadi mangsa.
Beliau menegaskan, langkah pertama untuk internet selamat adalah membuat satu keputusan mudah iaitu jangan mudah percaya. Klik yang salah boleh membuka pintu kepada jenayah digital.-15/12/2025



