KEMBARA

Lebih 500,000 pengunjung dijangka hadir Pesta Pulau Pinang edisi terakhir

Lebih 500,000 pengunjung dijangka membanjiri Pesta Pulau Pinang Edisi ke-59 yang merupakan edisi terakhir sebelum penganjuran ditangguhkan selama enam tahun, bagi memberi laluan kepada pembinaan LRT Laluan Mutiara.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pesta ikonik tersebut akan ditangguhkan bermula tahun 2026 apabila MRTC mengambil alih tapak Sungai Nibong untuk pembinaan depot dan stesen tersebut.

“MRTC akan memasuki tapak ini pada bulan April bagi melaksanakan pembinaan depot dan stesen LRT. Pada masa ini, kerajaan negeri bersama MRTC sedang meneliti pelan induk pembangunan semula kawasan tersebut, merangkumi pembinaan depot, stesen serta penggunaan baki tanah.

“Kawasan ini perlu dikosongkan dan setakat ini kita belum mempunyai rancangan penempatan semula PESTA yang benar-benar muktamad. Kita akan menunggu pelan induk itu dimuktamadkan terlebih dahulu,” katanya.

Kerajaan negeri menegaskan, keputusan hanya boleh dibuat selepas pelan induk pembangunan siap sepenuhnya.

Majlis perasmian malam Khamis itu disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Tun Ramli Ngah Talib dan isteri, Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah, di Tapak Pesta Sungai Nibong.

Pesta Pulau Pinang yang sinonim dengan nostalgia rakyat negeri ini terus menjadi tumpuan sejak dianjurkan pada tahun 1966.

Mengimbau mengenai sejarah Pesta Pulau Pinang, Chow berkata sejak dianjurkan pada 1966, ia berkembang daripada sebuah karnival jualan di Padang Kota Lama dan Lebuh Macallum menjadi acara tetap di Tapak Pesta Sungai Nibong mulai 1974.

“Nostalgia sepanjang pelayaran 59 tahun ini diabadikan melalui kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Pulau Pinang dalam pameran Tradisi Merentasi Generasi di Galeri Legasi Mutiara yang mempamerkan bahan sejarah termasuk koleksi tiket sejak 1978,” katanya.

Menurut Chow tapak pesta seluas 8.14 hektar itu dilengkapi dengan pelbagai fasiliti antaranya gerai, parkir, surau, tandas, taman mini, mesin juruwang automatik (ATM) dan pavilion agensi negeri, selain menjadi simbol hubungan diplomatik melalui Pavilion Sumatera Utara, Sumatera Barat, Acheh dan Thailand.

Chow berkata edisi kali ini berlangsung selama 36 hari bermula 6 Dis hingga 10 Jan depan dengan mengetengahkan pelbagai produk jualan daripada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), agensi negeri di samping penyertaan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU) Pulau Pinang, Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC).

“Seiring peningkatan pelancong asing, tiket masuk khusus untuk bukan warganegara turut diperkenalkan tahun ini pada harga RM10 seorang, manakala harga tiket untuk warganegara kekal RM5 dan orang kurang upaya (OKU) serta kanak-kanak bawah 12 tahun tidak dikenakan bayaran,” katanya.-15/12/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button