FOKUS

Hassan Karim tibai DAP…juga buka sejarah parti itu suka keluar gabungan politik bila nampak peluang malap

Ahli Parlimen PKR Pasir Gudang,Johor Hassan Karim dikenali sebagai orang yang kaki ‘tembak terus’ siapa saja tanpa basa basi ketika menyuarakan apa jua pandangan yang beliau yakini.

Terbaru beliau secara terbuka tibai DAP yakni rakan PKR gabungan dalam Pakatan Harapan kerana ‘buat perangai’ termasuk ugut nak keluar PH setelah kalah teruk dalam pilihanraya negeri (PRN)Sabah.

Dalam PRN Sabah yang berlangsung 29 November lalu, PH hanya memenangi hanya satu kerusi di sebalik pelbagai strategi dan kerjasama yang dijalin dengan parti lain.

Satu-satunya kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi PH ialah Melalap melalui calon PKR, Jamawi Ja’afar.

DAP pula kalah di semua lapan kerusi DUN yang ditandingi.

Susulan keputusan itu, DAP memberi tempoh enam bulan kepada kerajaan untuk melaksanakan pembaharuan institusi, dengan Setiausaha Agungnya, Anthony Loke, menyatakan parti itu akan menilai semula kedudukan dalam Kabinet jika tuntutan tidak dipenuhi, namun kekal menyokong Datuk Seri Anwar Ibahim sebagai Perdana Menteri.

Hassan menasihatkan DAP supaya tidak membuat kesilapan besar dengan meninggalkan PH.

“Kalau kalah di Sabah, jangan salahkan Perdana Menteri semata-mata. PKR pun kalah. Ini tanggungjawab bersama.

“DAP jangan tunjuk taring, jangan pamer kuku. Kita masih saling memerlukan dalam PH. Tidak manis ugut-ugut walaupun disampaikan dengan bahasa yang lembut,”katanya kepada wartawan di Bandar Seri Alam,Isnin.

Serentak dengan itu Hassan mengingatkan DAP agar tidak menjadikan PH seperti ‘habis madu sepah dibuang’ dengan meninggalkan gabungan apabila peluang menang dilihat semakin sukar menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Katanya, sejarah menunjukkan DAP pernah beberapa kali keluar daripada gabungan politik selepas gagal membentuk kerajaan.

Beliau mengimbas pengalaman DAP meninggalkan Gagasan Rakyat pada awal 1990-an, keluar Barisan Alternatif selepas pilihan raya 1999 dan 2004, serta keluar Pakatan Rakyat sebelum penubuhan PH pada 2015.

“DAP menyertai gabungan apabila nampak peluang menang. Bila keadaan berubah, jangan terus angkat kaki,” ujarnya.

Menurut Hassan, PKR kekal sebagai parti yang konsisten dalam PH sejak awal.

“Kalau mahu kerajaan berbilang kaum, kita kena kekal bersama PH dan PKR. Kalau DAP silap langkah, tidak mustahil kuasa politik akan dikuasai sepenuhnya oleh gabungan parti Melayu dan DAP hanya jadi pembangkang,” katanya.

Kata beliau, sekiranya tidak mahu itu berlaku, DAP perlu bersama-sama PKR menyelesaikan masalah dengan mengadakan mesyuarat dan bukan dengan ugutan.- 15/12/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button