YANG VIRAL

Internet selamat: Semua platform media sosial besar terdaftar mulai 1 Januari ini

Selaras dengan hasrat kerajaan Madani untuk menjadikan internet di Malaysia lebih selamat kepada kanak-kanak dan keluarga, semua penyelia perkhidmatan internet dan media sosial yang mempunyai lapan juta atau lebih pengguna di Malaysia akan terdaftar sebagai pemegang lesen ASP(C) mulai 1 Januari 2026.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, semua platform yang memenuhi kriteria ditetapkan termasuk WhatsApp, Telegram, Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube.

Menurut MCMC, pelaksanaan itu dibuat menerusi Peruntukan Deeming di bawah Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang membolehkan pendaftaran lesen dibuat melalui pengetepian formaliti tertentu.

“Langkah berkenaan bertujuan memastikan penyedia perkhidmatan berskala besar yang menawarkan perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial di Malaysia beroperasi dalam kerangka perundangan dan kawal selia negara secara teratur, konsisten serta berkesan,”ujarmya.

Pendekatan itu juga selaras dengan kerangka pelesenan yang telah dikuatkuasakan pada 1 Januari 2025, bagi memperkukuh akauntabiliti serta pematuhan platform terhadap undang-undang Malaysia.

MCMC menjelaskan, inisiatif berkenaan turut bertujuan memastikan semua platform terlibat memikul tanggungjawab lebih jelas terhadap keselamatan pengguna, khususnya dalam melindungi kanak-kanak dan keluarga.

Pihak berkuasa Malaysia sebelum ini membuat operasi besar-besaran terhadap bahan lucah dan keganasan kanak-kanak yang menyaksikan pemilikannya meningkat secara drastik dari tahun ke tahun.

Malah yang mengejutkan adalah ada remaja berusia 17 tahun yang menjadi pembekal bahan lucah dengan transaksi bernilai ribuan ringgit sebulan.

Dengan penguatkuasaan peruntukan ini, pengguna internet dan media sosial, terutamanya kanak-kanak dan keluarga, mendapat perlindungan yang lebih baik daripada risiko dalam talian.

MCMC turut menegaskan penyedia perkhidmatan terlibat akan terus beroperasi menerusi platform global masing-masing seperti biasa, selaras dengan amalan antarabangsa dalam pengawalseliaan platform dalam talian berskala besar.

Menurut kenyataan itu lagi, MCMC akan terus bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan serta agensi penguatkuasaan bagi memperkukuh keselamatan dalam talian demi manfaat semua pengguna di Malaysia.-15/12/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button