
Polis puji langkah MCMC… usaha lindungi anak bangsa Malaysia
Langkah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melaksanakan inisiatif ‘Deemed Licence’ dipuji kerana bertujuan untuk memperkukuh tadbir urus platform digital dan meningkatkan keselamatan dalam talian di Malaysia.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, polis menyokong usaha MCMC kerana ekosistem digital masa kini menuntut pendekatan pengawalseliaan yang lebih responsif terhadap ancaman seperti jenayah eksploitasi seksual kanak-kanak, penipuan dalam talian, penyebaran kandungan ekstremisme, serta penyalahgunaan platform digital untuk aktiviti yang menyalahi undang-undang.
“Usaha ini adalah sebahagian daripada komitmen bersama untuk melindungi anak bangsa Malaysia dan memastikan mereka selamat dalam persekitaran siber masa hadapan.
“PDRM akan terus bekerjasama rapat dengan MCMC dan agensi lain melalui pendekatan “whole-of-government” bagi memastikan mekanisme baharu yang sedang dimuktamadkan dapat meningkatkan keberkesanan siasatan, memperkukuh perkongsian maklumat, serta mempercepatkan tindakan terhadap kandungan atau aktiviti berbahaya di ruang digital,’’ katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Terdahulu, semua penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang mempunyai lapan juta atau lebih pengguna di Malaysia akan secara automatik dianggap berdaftar sebagai pemegang Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi [ASP(C)] bermula 1 Januari 2026.
Ia menerusi pelaksanaan Peruntukan Deeming di bawah Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
MCMC dalam kenyataannya memaklumkan langkah itu bertujuan memastikan penyedia perkhidmatan berskala besar yang menawarkan perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial kepada pengguna di Malaysia beroperasi dalam kerangka undang-undang serta kawal selia negara secara teratur, konsisten dan berkesan.
Mengulas lanjut, Mohd Khalid berkata, PDRM yakin pelaksanaan rangka kerja baharu ini akan meningkatkan perlindungan kepada rakyat, memantapkan integriti ruang digital negara, dan memperkukuh kerjasama antara kerajaan serta penyedia platform digital.
Langkah ini, katanya, turut menjadi asas penting dalam memastikan keselamatan generasi masa hadapan, terutamanya kanak-kanak dan keluarga, terjamin dalam landskap siber yang semakin mencabar.
“PDRM akan kekal komited melaksanakan penguatkuasaan mengikut peruntukan undang-undang semasa dan meningkatkan kesiapsiagaan dalaman bagi memastikan kerangka keselamatan digital yang bakal diperkenalkan dapat disokong dengan berkesan,’’ katanya.-16/12/2025



