
Orang ramai sokong MCMC pastikan internet lebih selamat
Pelaksanaan Peruntukan Deeming di bawah Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bermula 1 Januari 2026 menerima reaksi positif daripada orang ramai, khususnya dalam usaha memperkukuh keselamatan dalam talian.
Peruntukan tersebut mewajibkan penyedia perkhidmatan pesanan internet dan platform media sosial berskala besar dianggap berdaftar sebagai pemegang Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)).
Seorang pekerja swasta, Nur Alya Zulaikha, menyifatkan langkah itu sebagai wajar memandangkan cabaran keselamatan digital semakin kompleks, terutamanya melibatkan kanak-kanak. Menurutnya, inisiatif itu bukan sekadar bertujuan mengawal, malah mendidik pengguna serta menggalakkan penyedia perkhidmatan lebih berdisiplin dan bertanggungjawab.
Sementara itu, Muhamaad Razis Ismail berpandangan pelaksanaan peruntukan berkenaan adalah tepat pada masanya bagi membendung gejala negatif di ruang siber.
Namun, beliau menegaskan penguatkuasaan yang tegas dan konsisten amat penting bagi memastikan keberkesanan langkah tersebut dalam melindungi keselamatan kanak-kanak.
Dalam perkembangan sama, Hidayath Hisham berharap pelaksanaan Peruntukan Deeming itu dapat memperkukuh tahap keselamatan dalam talian di Malaysia.
Beliau menekankan keperluan platform media sosial dipertanggungjawabkan dalam menangani pendedahan kanak-kanak kepada kandungan tidak sesuai, selaras dengan usaha kerajaan mewujudkan ekosistem digital yang lebih selamat dan bertanggungjawab.-16/12/2025



