
Langkah MCMC perkukuh Akta 866 untuk lindungi pengguna – BHEUU
Bahagian Hal Ehwal Undang Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU) menyambut baik langkah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terhadap penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial berskala besar sebagai berdaftar melalui mekanisme Peruntukan Deeming di bawah seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.
BHEUU dalam kenyataan memaklumkan, pelaksanaan itu akan memperkukuh matlamat utama Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) dengan memastikan penyedia perkhidmatan beroperasi secara teratur bawah kerangka kawal selia negara, tanpa menjejaskan kesinambungan operasi platform global.
“Pendekatan ini juga mencerminkan prinsip akauntabiliti yang menjadi teras kepada Akta 866, iaitu memastikan penyedia perkhidmatan mempunyai tanggungjawab yang jelas terhadap keselamatan pengguna bagi melindungi golongan rentan khususnya kanak-kanak daripada kemudaratan dalam talian seperti buli siber, penipuan kewangan, eksploitasi kanak-kanak dan penyebaran kandungan memudaratkan.
“Langkah ini juga dilaksanakan dengan mengambil kira keseimbangan antara keselamatan dalam talian dan kebebasan bersuara,” menurut kenyataan itu.
Pelaksanaan itu mengambil kira keseimbangan antara keselamatan dalam talian dan kebebasan bersuara, serta akan dijalankan secara berfasa dengan kerjasama MCMC, kementerian, agensi berkaitan dan pihak berkepentingan melalui mekanisme Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian yang diselia BHEUU.
Menurut kenyataan itu lagi, pelaksanaan pendaftaran turut mengambil kira keseimbangan antara keselamatan dalam talian dan kebebasan bersuara.
Sehubungan itu, JPM menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama dengan MCMC, kementerian, agensi berkaitan serta pihak berkepentingan bagi memastikan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 dilaksanakan secara berfasa, telus dan berkesan.
Mekanisme pelaksanaan akan turut dipantau melalui Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian yang ditubuhkan di bawah seliaan BHEUU.
“Kerajaan MADANI kekal komited untuk membina ekosistem digital yang selamat, beretika dan bertanggungjawab, di samping memastikan kemajuan teknologi dimanfaatkan tanpa mengorbankan keselamatan, kesejahteraan dan kepentingan awam rakyat Malaysia,” katanya.-16/12/2025



