SUARA PEMBACA

KPDN siasat pasar raya enggan jual minyak peket tanpa eCOSS

Dakwaan sesetengah pasar raya yang tidak lagi membenarkan pengisian borang manual bagi pembelian minyak masak peket selepas pelaksanaan Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) akan disiasat.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, Dr Mohd Hazimin Jamaludin berkata, setakat ini kerajaan tidak mewajibkan penggunaan sepenuhnya sistem eCOSS.

Jelasnya, kelonggaran masih lagi diberikan kepada golongan tertentu termasuk warga emas bagi mengisi borang secara manual.

“Jika pembeli tidak mempunyai telefon pintar atau tidak dapat membuat imbasan, mereka masih dibenarkan membuat catatan secara manual. Yang penting, pengguna tetap boleh mendapatkan minyak masak tanpa sebarang masalah,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2025 KPDN Melaka di Jaya Grocer Klebang, hari ini.

Mohd Hazimin berkata, tindakan sedemikian boleh disiasat di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan yang jika sabit kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM100,000 manakala syarikat pula boleh dikenakan denda sehingga RM500,000.

Beliau menegaskan, pelaksanaan eCOSS bertujuan memastikan keharmonian ekonomi serta kebajikan rakyat terus terpelihara.

“Sekiranya terdapat premis yang menyusahkan pengguna, khususnya melibatkan barangan kawalan, orang ramai diminta membuat aduan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan pelaksanaan sistem tersebut menunjukkan perkembangan positif berkaitan bekalan di pasaran dan berjaya mengatasi isu ketirisan.

Ujarnya, walaupun terdapat rungutan awal daripada pengguna yang perlu membuat imbasan ketika membeli minyak masak, proses tersebut kini semakin diterima.

“eCOSS ini sangat baik kerana kita boleh menjejak minyak masak bermula dari peringkat kilang, ke premis jualan sehingga digunakan oleh pengguna. Setakat ini, kita tidak nampak berlaku ketirisan.

“Sebelum ini saya sendiri pernah turun membuat pemeriksaan pada waktu malam dan mendapati minyak masak kadangkala tiada di rak. Namun selepas pelaksanaan eCOSS, bekalan kini tersedia,” katanya.-24/12/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button