
Kes seleweng tender…SPRM sedang pantau seorang lagi pegawai tinggi ATM
Setelah bekas Panglima Tentera Darat Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan dua isterinya kelmarin direman untuk siasatan kes perolehan tender…pihak SPRM kini sedang pantau seorang lagi pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Hal ini disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki seperti dilapor Berita Harian.
Ikut laporan berkenaan SPRM sudah mula siasatan terhadap individu yang berusia 50han.
Individu berkenaan dijangka dipanggil untuk memberi keterangan dalam tempoh terdekat.
Azam Baki meminta semua pihak memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh serta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan. -10/1/2026
Bekas Panglima Tentera Darat tiba dengan baju oren dan bergari di mahkamah untuk proses reman…
Komplek Mahkamah Putrajaya menjadi tumpuan pada Khamis bila bekas Panglima Tentera Darat Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan bersama dua isterinya dibawa ke situ untuk prosiding reman keatas mereka bagi membantu siasatan kes tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM)

Hafizuddeain yang memakai baju oren lokap SPRM dan bergari serta dua isterinya itu tiba pada jam 10.02 pagi menaiki dua kenderaan SPRM.

Mereka bertiga ditahan di ibupejabat SPRM jam 7 petang semalam.
Hafizuddeain direman tujuh hari manakala kedua-dua isterinya masing-masing direman enam dan tiga hari bermula hari ini.
Perintah itu dikeluarkan oleh majistret Ezrene Zakariah.
Selain mereka, sepasang suami isteri yang juga pemilik sebuah syarikat turut direman selama tujuh hari semalam, bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah sama.
Ia menjadikan seramai lima individu ditahan hingga kini, bagi membantu siasatan kes rasuah berkenaan. – 8/1/2026
Bekas Panglima Tentera Darat dan dua isterinya ditahan SPRM…
SPRM pada lewat petang Rabu telah menahan bekas Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan bersama dua isterinya berkait projek perolehan tender tentera darat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sahkan mereka ditahan pada jam 7 petang.
Beliau turut beritahu semalam mereka telah menahan seorang lelaki Melayu dan isterinya yang disyaki bersubahat melarikan RM 2.4 juta.
Katanya SPRM akan pohon reman ke atas pegawai kanan tentera dan dua isterinya esok,Khamis.
Terdahulu, kenderaan membawa Muhammad Hafizuddeain dan isterinya memasuki perkarangan ibu pejabat SPRM jam 3 petang tadi.
Sebelum ini, SPRM memaklumkan, bekas Panglima Tentera Darat itu dikehendaki memberi keterangan pada 28 Disember tahun lalu, namun tidak dapat berbuat demikian kerana dimasukkan ke hospital.
SPRM juga hadir ke Kementerian Pertahanan pada 23 Disember lalu, bagi memulakan siasatan awal terhadap beberapa projek membabitkan tentera darat sejak 2023.
Pada 29 Disember lalu pula, Azam berkata, pihaknya menyita enam akaun bank milik pegawai itu dan ahli keluarganya bagi membantu siasatan.
Dua hari sebelum itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengesahkan Tan Sri Muhammad Hafizuddeain diarahkan bercuti berkuat kuasa serta-merta sehingga siasatan kes yang dilaporkan terhadap beliau selesai.- 7/1/2026
Panglima Tentera Darat diarah cuti serta merta sehingga siasatan babitkan dirinya selesai
Perkembangan ini sudah tentu mencuri perhatian ramai.Apa tidaknya ini kali pertama seorang pegawai tinggi tentera bertaraf Panglima Tentera Darat diarah bercuti serta merta sehingga siasatan membabitkan dirinya selesai.
Soal ada kes atau tidak itu semuanya bergantung kepada hasil siasatan.
Siasatan berkenaan melibatkan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan.
Beliau dilantik mengetuai cabang penting Angkatan Tentera Malaysia itu mulai 6 September 2023.
Jeneral Muhammad Hafizuddeain memulakan karier dalam tentera sebagai pegawai kadet pada 19 Ogos 1986.
Pengumuman mengenai arahan cuti serta merta itu dibuat menerusi satu kenyataan oleh Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin pada Sabtu.
“Bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap dakwaan yang dilaporkan, beliau (Muhammad Hafizuddeain) akan bercuti berkuat kuasa serta-merta sehingga selesai siasatan.
“Langkah pentadbiran ini diambil bagi memastikan proses siasatan berjalan lancar tanpa sebarang konflik kepentingan,” katanya.
Kenyataan berkenaan tidak menyebut siasatan itu berkaitan kes apa.
Dalam perkembangan berkaitan, Bernama melaporkan aktivis politik Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard sebelum ini mendakwa seorang pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia disyaki terbabit dalam isu pengubahan wang haram.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki kemudian mengesahkan satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Semakan awal SPRM turut mendapati beberapa syarikat berulang kali memperoleh projek bernilai tinggi, sekali gus menimbulkan persoalan.
Pada Selasa lalu, pegawai SPRM dilaporkan hadir ke Kementerian Pertahanan dengan tumpuan siasatan terhadap projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab Tentera Darat.
Hasil siasatan SPRM menunjukkan antara 2023 hingga 2025, Tentera Darat melaksanakan 158 projek perolehan bernilai lebih RM500,000 manakala perolehan bernilai bawah RM500,000 melibatkan 4,521 projek.
Setakat 24 Disember lepas, SPRM telah merakam keterangan tiga individu bagi membantu siasatan berhubung perolehan projek Tentera Darat.- 27/12/2025



