
KJ hadir PAU… hangatkan spekulasi isi semula borang UMNO
Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, yang dipecat tiga tahun lalu, kembali buat kali pertama ke Perhimpunan Agong Pemuda UMNO mengundang sorakan gemuruh.
Kemunculan semula Khairy atau lebih mesra dipanggil KJ menguatkan spekulasi beliau akan mengisi borang menyertai semula UMNO.
Kehadiran menantu kepada bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Presiden UMNO itu menarik perhatian ramai terutamanya dikalangan Pemuda UMNO yang merupakan ‘base’ politik KJ.
Ketika ditemui, Khairy menjelaskan bahawa kehadirannya adalah atas jemputan Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Akmal Saleh, dan mendapat ‘lampu hijau’ daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Hari ini sangat emosional bagi saya kerana dapat pulang ke perhimpunan parti saya.
“Semalam (14 Januari) saya berjumpa Datuk Ahmad Zahid di tahlil (mantan Perdana Menteri) Almarhum Tun Abdul Razak Hussein. Selepas bersalam dengan Datuk Ahmad Zahid, saya tanya, boleh ke saya hadir hari ini, dan beliau jawab please come (sila datang),” katanya.
Apabila ditanya apakah kehadirannya itu menandakan beliau akan kembali bersama UMNO, Khairy menjawab: “Insya-Allah ada benda baik selepas ini. One step at a time (selangkah demi selangkah). Hari ini saya kembali sebagai pemerhati dan insya-Allah selepas ini kita akan buat apa yang perlu,” katanya.
Hubungan dingin antara Khairy dengan Zahid bermula pada 2018, selepas Khairy mencabar Timbalan Perdana Menteri itu merebut jawatan Presiden pada pemilihan UMNO.
Ketegangan memuncak pada 2022 apabila KJ, yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau, tidak diberi kawasan untuk bertanding dalam PRU15, apabila tempatnya diisi Timbalan Presiden UMNO, Datuk Mohamad Hassan.
KJ akhirnya terpaksa berjuang sendiri mencari kerusi pada PRU15 dengan bertanding di Parlimen Sungai Buloh yang bukan pilihannya, namun beliau akur tiada pilihan lain yang menyaksikan beliau tewas di tangan calon Pakatan Harapan, Datuk Seri R Ramanan.
Walaupun dipecat daripada UMNO, rasa setia yang mendalam menyebabkan beliau tidak mempertimbangkan untuk menyertai parti lain.
Sebelum ini, Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri, dilaporkan berkata UMNO sentiasa membuka pintu untuk menerima mana-mana bekas ahli yang berhasrat mahu menyertai semula parti itu.
Pada 15 Januari, Datuk Ahmad Zahid yang ditemui di PAU2025 mengulangi kesediaan UMNO yang sentiasa terbuka untuk menerima semula bekas pemimpinnya menyertai semula parti itu.-16/1/2026



