YANG VIRAL

Reformasi MADANI berakar pada keadilan dan integriti

Perdana Menteri menegaskan lebih banyak usaha perlu dilakukan bagi memastikan reformasi di bawah kerangka MADANI benar-benar berasaskan kepada keadilan, integriti dan prinsip moral, dengan menekankan bahawa kemajuan tidak boleh hanya bergantung kepada pendekatan rutin semata-mata, tetapi memerlukan penyelesaian terhadap kegagalan sistemik yang berakar umbi.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dasar yang retorik tetapi gagal diterjemahkan secara jujur dalam amalan akan bercanggah dengan nilai keadilan, kehormatan dan kebebasan yang didakwa ingin ditegakkan.

Justeru, reformasi sebenar memerlukan keberanian, keyakinan dan konsistensi dalam tindakan.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Kuliah MADANI pada Majlis Ilmu MADANI di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya malam tadi dengan kehadiran tetamu istimewa, Pengarah Eksekutif United Muslim Masjid, Philadelphia, Amerika Syarikat, Syeikh Dr. Tahir Wyatt, yang baru sahaja tiba di Malaysia.

Anwar mengakui, walaupun sistem sedia ada bukanlah kegagalan sepenuhnya, terdapat banyak punca asas termasuk ketidakadilan dan rasuah yang sudah dikenal pasti perlu ditangani secara tegas.

Menurut beliau, agenda reformasi di bawah kerangka MADANI memberi penekanan adbir urus dan pembanterasan rasuah sistemik yang diwarisi sambil mengingatkan bahawa reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa masih terkesan dengan skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan oleh itu perubahan perlu dilakukan demi masa depan.

Perdana Menteri berkata, tindakan penguatkuasaan terkini, termasuk pendakwaan terhadap ketua angkatan tentera, satu langkah yang belum pernah berlaku mencerminkan komitmen kerajaan untuk menegakkan akauntabiliti, walaupun berdepan cabaran politik dan institusi.

“Tiada negara sekaya mana sekalipun mampu terus kuat atau perbaiki pendidikan, kesihatan awam dan infrastruktur jika berbilion ringgit hilang akibat rasuah,” katanya, sambil menekankan bahawa tadbir urus berkesan mesti disertai nilai moral dan etika bagi memastikan pembangunan yang mampan,” katanya.

Dalam aspek ekonomi, Perdana Menteri berkata Malaysia sedang memposisikan diri sebagai hab pelaburan serantau, khususnya dalam teknologi baharu seperti kecerdasan buatan, pendigitalan dan peralihan tenaga, di samping memperkukuh keterhubungan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak menerusi projek infrastruktur termasuk kabel bawah laut.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kemajuan teknologi dan ekonomi tidak boleh mengorbankan identiti, budaya dan nilai negara.

Malaysia, katanya, tidak berpihak secara mutlak kepada Timur atau Barat dan perlu mengekalkan keseimbangan antara kemajuan dan jati diri.-16/1/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button