
Cabaran UMNO untuk kembali sebagai Rumah Bangsa Melayu
Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 yang melabuhkan tirainya pada 17 Januari meninggalkan strategi penting buat parti Melayu itu berdepan landskap politik Malaysia yang semakin berpecah, ketika Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kian menghampiri.
Di pentas PAU 2025, UMNO dilihat berusaha menjenamakan semula parti dan mencari hala tuju baru sebagai medan penyatuan Melayu, antaranya dengan menubuhkan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa, ketika sokongan terhadap parti itu terus merosot.
Penubuhan jawatankuasa itu diumumkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika menyampaikan ucapan dasar di pentas PAU 2025, pada 16 Januari.
Kebimbangan terhadap sokongan pengundi kepada UMNO telah diterjemahkan dalam beberapa siri pilihan raya sebelum ini, termasuk yang terkini menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada November 2025.
PRN itu menyaksikan UMNO hanya memenangi lima daripada 14 kerusi yang ditandingi.
Berdasarkan data yang dikongsi Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, pada PAU 2025, PRN Sabah menjadi satu isyarat menyentak yang menyedarkan atau ‘wake up call’ terbesar buat UMNO, apabila hanya 144,584 undi diterima parti itu berbanding 622,637 ahli berdaftar.
“Pengajarannya, ahli bukan semestinya pengundi dan pengundi tidak semestinya kekal bersama kita,” ujarnya ketika membentangkan Ucapan Pelaporan Setiausaha Agung di PAU 2025, sekali gus menuntut UMNO melaksanakan perubahan dan hijrah politik segera demi kelangsungan parti itu.
Pada usia hampir lapan dekad, UMNO tidak lagi berada pada kedudukan dominan seperti suatu ketika dulu termasuk tempoh 60 tahun pemerintahan.
Sebaliknya parti itu terus berdepan cabaran untuk mengekalkan kelangsungannya sebagai parti Melayu terbesar di Malaysia, dalam suasana persaingan politik yang kian sengit.
Dalam konteks itu, PAU 2025 dilihat bukan sekadar acara tahunan, bahkan medan penting bagi UMNO mempamerkan usaha penjenamaan semula serta merangka strategi kelangsungan politiknya.
Ia termasuk melalui agenda penyatuan Melayu dan pembukaan semula pintu kepada bekas ahli serta seteru politik.
Namun persoalannya, sejauh manakah langkah yang diumumkan termasuk Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa untuk menarik semula sokongan dan penyertaan mana-mana pihak termasuk mantan ahli ke dalam UMNO, mampu mengukuhkan kedudukan parti itu menjelang PRU16 yang perlu diadakan sebelum Februari 2028?
Penubuhan jawatankuasa itu adalah sebahagian penjenamaan semula UMNO menjelang PRU16.
Pada PAU 2025 UMNO, Zahid turut menjelaskan UMNO mesti bersedia menghadapi landskap politik di luar kebiasaan, termasuk gandingan berbeza di peringkat Persekutuan dan negeri menjelang PRU16.
UMNO turut menggariskan tiga realiti politik yang perlu ditangani parti itu ketika ini termasuk cabaran politik rentas gabungan kepartian, realiti dinamik politik Melayu dan cabaran identiti serta krisis keyakinan, yang mesti diurus.
Lebih 6,400 perwakilan UMNO daripada 191 bahagian seluruh Malaysia berhimpun di WTC, sehingga 17 Januari untuk PAU2025.-19/1/2026



