SUARA PEMBACA

Tapak baharu Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman telah disediakan – Hannah

Kerajaan mengesahkan tapak baharu bagi pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman telah siap disediakan selaras dengan pelaksanaan pembangunan Masjid MADANI yang sedang dilaksanakan secara terancang dan berlandaskan peruntukan undang-undang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata semua kelulusan berkaitan pembinaan kuil di tapak baharu itu telah dipercepatkan bagi memastikan kelangsungan amalan keagamaan penganut terlibat, selain mengekalkan keharmonian antara agama.

Menurut beliau, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah meluluskan sepenuhnya pelan bangunan kuil berkenaan pada 17 September 2025, manakala tapak baharu tersebut telah digazetkan sebagai Tapak Rumah Ibadat Bukan Islam pada 5 Disember 2025.

“Pada 14 Januari lepas, Jabatan Kerja Tanah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah mengeluarkan kebenaran membina bangunan di atas tanah tersebut. Perbincangan awal telah diadakan dan lawatan tapak turut dilaksanakan.

“Tapak baharu telah disediakan sepenuhnya dan kini proses penyelarasan melibatkan pemindahan serta penentuan masa sedang dijalankan kerana ia turut melibatkan upacara keagamaan,” katanya.

Hannah turut merakamkan penghargaan kepada bekas Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa dan bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif atas penyelarasan penyediaan tapak baharu berkenaan.

Beliau berkata tapak baharu kuil itu terletak kira-kira 100 meter dari lokasi asal, sekali gus memudahkan proses pemindahan dan memastikan akses yang hampir sama kepada penganut.

Sehubungan itu, kerajaan kini menyelaras pelaksanaan pemindahan kuil di peringkat operasi melibatkan semua agensi dan pihak berkaitan menerusi mesyuarat penyelarasan yang dijadualkan berlangsung hari ini.

Tambah beliau, perbincangan secara rapat dan berkala akan diteruskan, khususnya selepas sambutan Thaipusam, bagi memastikan proses pemindahan dan pembinaan berjalan lancar serta dalam suasana saling menghormati.

Hannah berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Menteri Wilayah Persekutuan yang turut dihadiri ahli Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.-20/1/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button