
Titah Agong akan dilaksana dengan tegas oleh Kerajaan MADANI
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim akan dilaksanakan oleh kerajaan MADANI dengan tegas.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menyifatkan Titah Diraja Seri Paduka Baginda pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-15 pada Isnin sebagai jelas dan berprinsip.
“(Titah Yang di-Pertuan Agong) jelas dan baik, (kerajaan) akan melaksanakannya dengan tegas,” katanya ringkas kepada pemberita selepas berucap pada Majlis Penghargaan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, di Serdang pada Isnin.
Sultan Ibrahim menzahirkan ketegasan dengan menitahkan agar amalan rasuah diperangi secara besar-besaran serta menegaskan bahawa tiada sesiapa pun boleh dilindungi daripada tindakan undang-undang.
Seri Paduka Baginda bertitah usaha membanteras rasuah tidak boleh tertumpu kepada penerima rasuah semata-mata, sebaliknya pemberi rasuah, ejen serta mana-mana pihak yang bersubahat turut perlu disiasat dan dikenakan tindakan tegas.
Selain itu, Sultan Ibrahim bertitah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang bermula tahun ini perlu memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat, khususnya dalam bidang pendidikan, perumahan, kesihatan dan pengangkutan awam.
Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa sistem pendidikan negara perlu terus diperkasa sebagai asas pembinaan bangsa, jati diri serta masa hadapan negara.
Sementara itu, kejayaan Malaysia mengendalikan Sidang Kemuncak ASEAN 2025 tidak seharusnya melalaikan, sebaliknya perlu menjadi pemangkin kepada usaha berterusan untuk membangunkan ekonomi negara.
Menurut Anwar pengiktirafan dunia tidak boleh bersifat simbolik semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada dasar yang jelas dan berkesan.
“Kita tidak mahu mereka datang sekadar menyaksikan tarian yang hebat, sambutan yang meriah serta negeri yang bersih dan tersusun. Sebaliknya, kita mahu mereka turut melihat keupayaan kita mengurus ekonomi, memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat serta menguasai teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), pusat data dan teknologi maklumat. Semua ini berkait rapat dengan keperluan kepada dasar yang jelas,” katanya.
Beliau menyampaiakan Amanat Penghargaan bersempena Majlis Penghargaan Kepengerusian ASEAN–Malaysia 2025 pada Isnin menegaskan perpecahan berasaskan parti, kaum atau negeri hanya akan melemahkan negara.
“Sehubungan itu, pimpinan perlu memikul amanah dan tanggungjawab itu dengan serius demi kepentingan bersama,” katanya lagi.
Tahun lalu, Malaysia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN 2025 yang diadakan di ibu negara.-20/1/2026



