
IJM sahkan SPRM, LHDN hadir ke pejabat mereka
IJM Corporation Bhd mengesahkan bahawa pegawai dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah hadir di pejabat syarikat hari ini untuk mendapatkan maklumat sebagai sebahagian daripada proses mereka.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, IJM berkata, pihaknya akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa.
Katanya, syarikat komited untuk menegakkan piawaian tadbir urus korporat, ketelusan dan integriti yang kukuh.
“Kami ingin memberi jaminan kepada pihak pemegang taruh kami bahawa operasi perniagaan kami berjalan seperti biasa.
“Syarikat akan terus memantau perkembangan perkara ini dan akan membuat pendedahan tepat pada masanya sekiranya terdapat sebarang kemas kini penting,” katanya.
Sebelum ini Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dilaporkan berkata cadangan pengambilalihan IJM oleh Sunway Group menimbulkan persoalan besar berkaitan kepentingan nasional serta ekuiti Bumiputera, memandangkan hampir separuh pegangan saham syarikat berkenaan dimiliki oleh institusi pelaburan negara.
Menurutnya perkara itu timbul susulan penerimaan notis daripada Bursa Malaysia oleh IJM Corporation pada 12 Januari 2026 berhubung kemungkinan Sunway Group membeli saham syarikat berkenaan, sekali gus membuka ruang kepada pengambilalihan penuh.
Menurut beliau, IJM bukan syarikat milik individu, sebaliknya dimiliki oleh beberapa institusi pelaburan utama negara termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan pegangan 19 peratus, Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebanyak 14.4 peratus dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dengan 9.6 peratus.
Selain itu, Lembaga Tabung Haji memiliki 2.8 peratus saham manakala Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) memegang 0.3 peratus, menjadikan keseluruhan pegangan institusi pelaburan negara mencecah kira-kira 47.1 peratus.
Beliau turut membangkitkan persoalan berkaitan penilaian saham apabila saham IJM diniagakan sekitar RM2.80 sesaham berbanding nilai aset ketara (NTA) RM2.90, manakala saham Sunway diniagakan sekitar RM5.63 sesaham sedangkan NTA hanya RM2.34, iaitu pada premium kira-kira 2.4 kali ganda.
Keadaan itu, tegasnya, menimbulkan keraguan terutama apabila nilai saham Sunway dilihat melonjak secara mendadak.
Sehubungan itu, beliau mendesak Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bursa Malaysia menjalankan siasatan penuh terhadap pergerakan serta penilaian saham Sunway sebelum sebarang transaksi diteruskan.-20/1/2026



