
Kerajaan MADANI lulus 563 projek bernilai RM32 bilion di Pahang
Kerajaan Madani telah meluluskan sebanyak 563 projek berkepentingan rakyat bernilai RM32 bilion di Pahang di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, ia termasuk sebanyak 34 projek berkepentingan rakyat bernilai RM1.66 bilion khusus untuk Bentong.
Bagaimanapun, Anwar menegaskan, angka tersebut tidak bermakna sekiranya pelaksanaannya gagal menyentuh realiti hidup rakyat.
“Kerana itu keutamaan kita tahun ini adalah memastikan setiap projek dilaksanakan segera, berintegriti dan benar-benar memberi kesan kepada keluarga, peniaga kecil serta komuniti setempat.
“Sebarang projek yang tertangguh akibat kelemahan pengurusan atau permasalahan kontraktor tidak boleh dibiarkan berlarutan hingga bertahun-tahun kerana setiap kelewatan bererti rakyat terus dinafikan kemudahan dan perkhidmatan yang sepatutnya mereka nikmati,” katanya dalam hantaran di Facebook, Khamis.

Terdahulu, Anwar melawat Pahang bagi meninjau perkembangan pembangunan di Bentong.
Perdana Menteri turut mendengar taklimat pembangunan daerah Bentong bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Dalam pada itu, Perdana Menteri memberitahu beliau telah dimaklumkan bahawa terdapat sekitar 106 keluarga miskin tegar di Bentong.
Beliau turut mengarahkan supaya bantuan disegerakan dan keluarga itu mesti dikeluarkan daripada kepompong miskin tegar dalam tempoh satu bulan.
Pada masa sama, Anwar berkata, semua peringkat wajib memantau kemajuan projek secara dekat.
“Tahun ini misalnya, kita akan menambah bilik darjah dan meningkatkan keselesaan bilik guru menjelang pelaksanaan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 termasuk pelaksanaan kemasukan prasekolah pada usia lima tahun dan Tahun 1 pada usia enam tahun secara sukarela.

“Kegagalan di peringkat pelaksanaan termasuk projek bermasalah atau lewat disiapkan akan menjejaskan keselesaan pembelajaran dan masa depan anak-anak.
“Soal integriti juga tidak boleh dikompromi.
“Setiap wang yang disalurkan adalah amanah dan mesti sampai kepada rakyat, bukan mengalir ke poket mana-mana pihak.
“Kelonggaran kelulusan projek bukan ruang untuk disalah guna tetapi ikhtiar mempercepat pelaksanaan agar manfaatnya segera dirasai oleh rakyat,” katanya.-23/1/2026



