
ISWAMI gesa media lapor dengan beretika isu sempadan Malaysia – Indonesia
Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia–Indonesia (ISWAMI) menggesa media di kedua-dua negara melaporkan isu penyelesaian sempadan darat bagi sektor Sabah-Kalimantan Utara (KALTARA) secara tepat, berimbang dan beretika.
Presiden ISWAMI Malaysia, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dalam kenyataan memaklumkan, rundingan penandaan dan pengukuran sempadan di kawasan Masalah Sempadan Tertangguh (OBP) melibatkan Sabah dan Kalimantan Utara telah dilaksanakan secara harmoni, tanpa prinsip timbal balik, pampasan atau untung rugi.
“ISWAMI berharap media massa memberikan laporan yang tepat dan benar, berpegang kepada prinsip serta etika kewartawanan, serta tidak membentuk naratif yang boleh mengeruhkan hubungan baik Malaysia dan Indonesia,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam kenyataan hari ini turut menegaskan laporan media bertarikh 22 Januari 2026 yang menyatakan “Malaysia menyerahkan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan untuk tiga kampung kawasan Nunukan, berdekatan sempadan Sabah – Kalimantan” adalah tidak tepat.
Pemuktamadan sempadan itu dibuat berdasarkan perjanjian persefahaman kedua-dua negara sejak 18 Februari 2025, selepas proses rundingan teknikal yang telus selama lebih 45 tahun.
Hasrat Malaysia dan Indonesia untuk menyegerakan penyelesaian isu sempadan darat bagi sektor Sabah-KALTARA dipersetujui semasa lawatan negara bekas Presiden Indonesia, Joko Widodo ke Malaysia pada 8 Jun 2023 yang melibatkan wakil Kerajaan Negeri Sabah sebagai sebahagian delegasi Malaysia.
ISWAMI turut berharap kerajaan Malaysia dan Indonesia memberi taklimat khas kepada media bagi mengelakkan salah faham serta spekulasi negatif dalam kalangan rakyat.-24/1/2026



