FOKUS

Ini sudah tentu pengumuman yang melegakan ramai orang…

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 yang dijadualkan pada bulan April diawalkan kepada esok secara berperingkat.

“Bayaran STR Fasa 2 kita awalkan, STR Fasa 2 dulu dibayar bulan April untuk 2025 tetapi kita awalkan kerana kita nak sambut Ramadan dan Aidilfitri.

“Jadi kita awalkan 10 Mac 2026, saudara akan dapat dalam akaun STR Fasa 2 ,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), di Putrajaya pada Isnin.

Menurutnya pembayaran bakal melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM1.3 bilion.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 15 dan ke bawah, termasuk lantikan kontrak akan dibayar pada 13 Mac.

“Ini termasuk pesara kerajaan dan veteran yang berpencen serta tidak berpencen yang turut menerima RM250 pada tarikh sama iaitu 13 Mac dan bantuan ini dikecualikan daripada cukai pendapatan,” jelas beliau.

Selain itu, Anwar turut mengumumkan penyaluran sumbangan khas sebanyak RM500 kepada 70,000 guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), guru takmir, imam, bilal, tok siak, noja dan marbut bagi menghargai khidmat mereka, seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan 2026.

Beliau turut mengumumkan subsidi tiket penerbangan bernilai RM400 bagi mengurangkan beban pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi laluan domestik antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak diperluaskan.

“Oleh kerana masih ada keluhan, jadi Mesyuarat Jemaah Menteri pada 4 Mac lalu telah meluluskan perluasan bantuan subsidi FlySiswa daripada IPTA, kini ditambah lagi kepada Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM), universiti separa kerajaan (Government-Linked Universities), institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri serta Institut Perladangan dan Komoditi.

“Ini akan melibatkan dan memberi manfaat kepada 50,000 pelajar pada tahun 2026 berbanding 44,000 pada tahun lalu,” katanya.- 9/3/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button