
Festival angkat warisan wau di Pulau Pinang
Penganjuran Festival Penang 2030 x Pesta WOW di Sungai Acheh, sebahagian usaha memperkasa warisan budaya tempatan sambil merancakkan ekonomi komuniti setempat.
Acara berteraskan budaya wau itu turut menyokong pembangunan pelancongan berasaskan komuniti, khususnya di kawasan luar bandar Pulau Pinang.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, penganjuran festival berkenaan memberi ruang kepada kawasan Sungai Acheh untuk diketengahkan sebagai destinasi pelancongan beridentitikan warisan.
“Penganjuran festival pada hari ini amat signifikan kerana ia mengetengahkan budaya wau, salah satu warisan tradisi Melayu yang bukan sahaja memukau dari segi seni, malah sarat dengan nilai sejarah, kreativiti dan jati diri bangsa.
Lebih membanggakan, festival bertemakan wau ini merupakan julung kali dianjurkan di Sungai Acheh, sekali gus memperkenalkan keunikan warisan tempatan kepada masyarakat luar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Festival Penang 2030 x Pesta WOW di Sungai Acheh.
Pameran wau yang dianjurkan turut diserikan dengan kenduri rakyat, bengkel pembuatan wau serta pertandingan mewarna kaligrafi Cina dan tulisan khat.
Selain itu, pelbagai aktiviti tradisional turut menarik kehadiran pengunjung.
Antaranya sukan bendang, pertandingan dam haji, pertandingan memasak kerabu dan pertandingan pakaian tradisional berasaskan wau.-26/1/2026



