
Inilah wajahnya…
Ingat balik kejadian pembunuhan kejam ibu dan bapa oleh anak sendiri di sebuah rumah di Sungai Penchala dekat Kuala Lumpur pada awal malam 9 Disember baru ini.
Lelaki itu Afendi Muhammad Agus, 42, didakwa di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur,Jumaat atas dua pertuduhan membunuh ibu dan bapanya.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua tertuduh, didakwa membunuh bapanya Muhammad Agus@Muhamed Ali Omar, 82, dan ibunya Darlisma Njatu Saleh, 72.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Sungai Penchala, Jalan Penchala Hilir 6 masing-masing pukul 7.10 malam dan 7.20 malam pada 9 Disember lalu.
Berikutan itu pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Vivien Yeap Jie Xi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 31 Januari depan bagi sebutan kes.
Semasa kejadian jeritan minta tolong seorang wanita yang didengari jirannya merungkai penemuan pasangan warga emas mati dibunuh di sebuah rumah di situ.
Menurut jiran, jeritan itu dipercayai daripada wanita yang dibunuh anak lelakinya berusia 40-an kira-kira pukul 7 malam.
Pasangan yang dibunuh itu merupakan keluarga yang dikenali ramai penduduk setempat sekali gus menimbulkan suasana suram dalam kalangan penduduk.
Sejurus selepas kejadian, suspek yang melarikan diri kemudian berjaya diberkas polis dan ditahan ketika bersembunyi di terowong Penchala di Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur (Sprint),.
Suspek adalah anak ketiga daripada empat adik beradik itu juga dipercayai baru sahaja diikat jamin oleh bapanya atas kesalahan jenayah.
Hasil siasatan polis kemudian mengesahkan suspek mempunyai sembilan rekod jenayah lampau berkaitan dadah.-15/12/2023