YANG VIRAL

Kerajaan MADANI peruntuk RM2 juta perkasa seni bela diri negara

Kerajaan MADANI mengumumkan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi memperkasa pembangunan seni mempertahankan diri negara, khususnya silat, sebagai warisan bangsa yang strategik dalam membentuk jati diri anak muda dan menyokong aspirasi sukan negara ke peringkat antarabangsa.

Peruntukan berkenaan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan akan disalurkan kepada Pertubuhan Lima Generasi Malaysia sebagai badan pelaksana utama.

Langkah ini disifatkan sebagai pengiktirafan kerajaan terhadap kedudukan seni persilatan bukan sekadar sebagai sukan atau budaya, malah sebagai “benteng pertahanan ketiga” negara yang menyumbang kepada pembinaan karakter generasi muda.

Pengasas dan Presiden Pertubuhan Lima Generasi Malaysia, Datuk Abdullah Ghani Kassim, berkata dana tersebut akan dimanfaatkan secara berfokus merangkumi empat tunjang utama: pembangunan atlet dan jurulatih bertaraf antarabangsa, peningkatan prasarana latihan termasuk gelanggang dan peralatan, penganjuran kejohanan tempatan dan antarabangsa, serta promosi silat ke platform global.

“Peruntukan ini menjadi pemangkin penting bagi melaksanakan program secara lebih tersusun dan profesional. Sasaran jangka panjang kami ialah melahirkan pesilat dan atlet tempur bertaraf dunia secara berperingkat,” kata Abdullah Ghani pada Majlis Apresiasi Pendekar Negara yang diadakan di Seremban baru-baru ini.

Majlis sulung anjuran pertubuhan itu turut menjadi manifestasi awal pelaksanaan inisiatif kerajaan, yang tercetus daripada Himpunan Pendekar sempena sambutan Hari Malaysia 2025 dan direalisasikan menerusi sokongan dana khas Pejabat Perdana Menteri.

Dalam majlis berkenaan, enam kategori anugerah disampaikan kepada 29 penerima. Enam pertubuhan silat—termasuk Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong dan Pertubuhan Silat Pusaka Hanafi—menerima insentif RM70,000 setiap satu menerusi Anugerah Pertubuhan Silat Terpilih. Lima tokoh legenda seperti Profesor Dr (Hc) Abd Ghapar @ Jebat Datuk Dr Raja Abd Majid dan Tuan Guru Muhammad Wahab pula menerima Anugerah Jasa Silat berserta insentif RM10,000.

Tiga atlet Muay Thai muda—Johan Ghazali (Jojo Ghazali), Aliff Rakib dan Rifdean Masdoor—dikurniakan Anugerah Ikon Tempur Anak Muda, manakala enam atlet peraih pingat emas Sukan SEA 2025 seperti Ummi Mashitah Hassan dan Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar menerima penghargaan khas. Tiga jurulatih utama negara turut diiktiraf menerusi Penghargaan Jurulatih Silat Negara.

Pertubuhan Lima Generasi Malaysia turut menyambut baik penegasan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin, berhubung rancangan kerajaan memperluaskan pengenalan silat dalam sistem pendidikan negara, termasuk menjadikannya aktiviti kokurikulum di sekolah-sekolah.

“Langkah ini selari dengan matlamat membina generasi muda yang berdisiplin, berjati diri dan menghargai warisan bangsa. Kami komited bekerjasama dengan semua pihak untuk memastikan kesinambungan warisan seni tempur tanah air,” tambah Abdullah Ghani.

Majlis Apresiasi Pendekar Negara menandakan fasa pertama pelaksanaan inisiatif jangka panjang kerajaan dalam memartabatkan seni mempertahankan diri negara, yang dijangka memberi impak signifikan kepada ekosistem sukan tempur tempatan dalam tempoh lima tahun akan datang.-2/2/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button