KEMBARA

Sambutan luar biasa Larian Visit Malaysia 2026

Sambutan luar biasa terhadap Larian Visit Malaysia 2026 membuktikan keberkesanan acara sukan untuk mempromosi pelancongan negara sempena kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, program larian santai yang dianjurkan sempena TMM dan Hari Wilayah Persekutuan itu mencatatkan penyertaan melebihi 5,000 peserta.

“Sekretariat menjangkakan penyertaan seramai 3,000 orang, namun jumlah peserta berdaftar dan tidak berdaftar mencecah lebih 5,000 orang.

“Ini jelas memperlihatkan sambutan yang amat luar biasa dan wajar digalakkan, lebih-lebih lagi penyertaan melibatkan pelbagai kaum,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan upacara pelepasan peserta Larian Visit Malaysia 2026, pada Ahad.

Pada masa sama, beliau menyatakan penganjuran acara maraton yang dijadualkan pada Ogos depan diharap dapat menarik penyertaan antarabangsa sekali gus meningkatkan kemasukan pelancong ke Malaysia.

Mengulas mengenai pendekatan penganjuran acara di bawah TMM 2026, Ahmad Zahid menegaskan setiap program perlu disesuaikan mengikut kumpulan sasaran tertentu dan tidak boleh bergantung kepada satu bentuk promosi sahaja.

“Setiap kumpulan sasaran mempunyai acara yang dapat menarik minat mereka,” katanya.

Ahmad Zahid turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Tourism Malaysia atas inisiatif menganjurkan program lawatan dan promosi melibatkan pemain industri, ejen pelancongan, syarikat penerbangan, wartawan serta penulis pelancongan. -2/2/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button