
Tarif elektrik Sabah naik mulai 1 Februari
Tarif elektrik di Sabah dan Labuan meningkat lebih lima sen setiap kilowatt-jam (kWh) berkuat kuasa hari ini, dengan purata tarif asas disemak daripada 34.52 sen kepada 39.70 sen per kWh.
Dalam satu kenyataan, Sabah Electricity Supply Berhad memaklumkan semakan tarif itu dilaksanakan di bawah rangka kerja Peraturan Berasaskan Insentif (IBR), selaras dengan peruntukan terkini Enakmen Bekalan Elektrik 2024.
SESB menjelaskan kira-kira 85 peratus pengguna domestik yang menggunakan sehingga 600 kWh sebulan hanya terkesan kenaikan minimum sehingga RM27, manakala pengguna komersial kecil dijangka berdepan peningkatan antara RM4 hingga RM24.
Menurut syarikat utiliti itu, semakan dibuat dengan mengambil kira kebajikan pengguna domestik dan perniagaan kecil, di samping menangani peningkatan kos operasi dan penyelenggaraan serta keperluan pelaburan infrastruktur.
Bagi tempoh kawal selia kedua, kos sebenar purata bekalan elektrik dianggarkan 45.08 sen per kWh, lebih tinggi daripada tarif baharu yang diluluskan, justeru Kerajaan Persekutuan akan menyalurkan subsidi RM849 juta bagi tempoh 2026 hingga 2027.
SESB menegaskan pelarasan tarif ini penting bagi memastikan daya tahan jangka panjang syarikat dan kebolehpercayaan grid elektrik, demi menjamin bekalan berterusan kepada isi rumah dan sektor perniagaan.
Sementara itu, rebat di bawah program e-Kasih diteruskan untuk isi rumah miskin tegar, selain diskaun sedia ada kepada rumah kebajikan, rumah ibadat dan institusi pendidikan, serta diskaun 10 peratus kepada sektor pertanian, akuakultur dan perikanan bagi menyokong keselamatan makanan.-2/2/2026



