TAHUKAH ANDA

Kewarganegaraan automatik anak lahir luar negara berkuat kuasa 1 Jun

Pelaksanaan pemberian kewarganegaraan automatik kepada anak lahir di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan pasangan bukan warganegara, dijangka berkuat kuasa 1 Jun depan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, pihaknya kini berada dalam proses peringkat akhir memuktamadkan pindaan kaedah-kaedah kewarganegaraan bagi membolehkan sistem dalam talian sebagai sistem pra-pendaftaran digunapakai.

“Saya juga nak menyebut bahawa tempoh hari bila kita pinda Perlembagaan Persekutuan mengenai kewarganegaraan, hasilnya adalah sekarang ini kita dalam proses memuktamadkan pindaan kaedah-kaedah kewarganegaraan bagi membolehkan nanti sistem dalam talian sebagai sistem pra-pendaftaran boleh digunapakai dan sebagainya.

“Jadi kita sedang dalam peringkat akhir bagi mendapatkan perkenaan Yang Di-Pertuan Agong. Itu satu keperluan dan kita jangkakan 1 Jun 2026, kita boleh melaksanakan, selaras peruntukan 1(2) akta terbabit,” katanya pada sesi pengulungan perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat, pada Isnin.

Saifuddin berkata, bagi ibu yang juga rakyat Malaysia dan melahirkan anak di luar negara, maka kewarganegaraan automatik dapat dipenuhi apabila mereka memenuhi semua garis panduan termasuk kaedah-kaedah warganegara ditetapkan.

Katanya, proes permohonan kewarganegaraan dibuat berpandukan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.

“Sepanjang 2023, Kementerian Dalam Negeri sasar selesaikan 10,000 kes, namun kami selesaikan 11,711. Tahun 2024, saya letakkan sasaran 17,000, kita berjaya selesaikan 20,701.

“Tahun 2025 sasaran kita 20,000, kita selesaikan 20,032 kes. Semua ini kita capai dalam masa tiga tahun. Secara kebetulan tempoh ini hampir menyamai lapan tahun pemerintahan terdahulu, iaitu 55,041 keputusan,” katanya.

Saifuddin berkata, setakat 31 Disember tahun lalu, baki permohonan tertunggak adalah 3,738.

Beliau turut meletakkan komitmen untuk kementeriannya memaklumkan keputusan permohonan kewarganegaraan setiap setahun sekali.

“Kita mengikat diri kita dengan komitmen satu tahun untuk memaklumkan keputusan. Sebelum ini lima tahun, 10 tahun, 15 tahun, 33 tahun pun ada. Tapi kali ini, kami kata dalam tempoh satu tahun,” katanya.-10/2/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button