FOKUS

Isu saham…Azam Baki sudah dipanggil beri keterangan pada Jawatankuasa Khas siasatan

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar pada Ahad tampil dengan satu kenyataan mengenai perkembangan siasatan pasal isu pemilikan saham Ketua Persuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki.

Beliau memberitahu jawatankuasa itu telah bersidang pada 19 Februari lalu dan memanggil Azam Baki untuk memberikan keterangan berhubung pemilikan saham berjumlah 17.7 juta dengan harga belian sebanyak RM1.416 juta dalam syarikat Velocity Capital Partner Bhd.

“Jawatankuasa juga masih dalam proses menilai segala keterangan yang telah diperoleh serta akan memanggil saksi-saksi lain yang berkaitan bagi melengkapkan siasatan terhadaр perkara ini,’ katanya.

Beliau berkata, jawatankuasa itu memberi jaminan siasatan menyeluruh akan dilaksanakan secara telus, bebas dan profesional.

“Hasil siasatan dan syor pertimbangan bagi tindakan selanjutnya akan diangkat kepada pihak yang berkuasa termasuk sekiranya didapati wujud sebarang pelanggaran terhadap mana-mana undang-undang jenayah atau peraturan yang berkuat kuasa,’’ katanya.

Pada 13 Feb lalu, kerajaan bersetuju menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat dakwaan serta perkara berbangkit yang dikaitkan dengan ketua pesuruhjaya SPRM itu.

“Hasil siasatan ini serta cadangan tindakan lanjut akan dikemukakan kepada pihak berkuasa yang berkaitan, termasuk bagi kes-kes di mana terdapat pelanggaran undang-undang atau peraturan,” kata Shamsul Azri lagi.

Sebelum ini, Bloomberg melaporkan Azam memiliki saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.- 22/2/2026

Saya tidak perlu cuti, jalankan tugas seperti biasa’ – Azam Baki

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki menegaskan bahawa beliau tidak perlu bercuti susulan dakwaan serta pelbagai perkara berbangkit yang dikaitkan dengan dirinya, sebaliknya akan terus menjalankan tugas seperti biasa.

Bercakap pada sidang media selepas menghadiri program perasmian Kampung Angkat Madani di Sepang hari ini, Azam berkata, tiada keperluan untuk dirinya bercuti memandangkan setakat ini tiada sebarang pertuduhan jenayah dikenakan terhadapnya.

“Saya tak perlu bercuti. Kalau nak bercuti saya bagi tahu berapa ramai kena tuduh sekarang ni di mahkamah (tetapi) masih lagi bertugas?

“Ada orang (bekas) menteri kewangan pun masih lagi (bertugas ketika kes dalam siasatan), apa masalahnya? Saya ada buat ‘criminal’ kah?” katanya.

Sementara itu, Azam menyatakan keyakinannya bahawa Jawatankuasa Khas Siasatan yang ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan terhadapnya akan melaksanakan siasatan secara telus dan profesional dan memberikan komitmen untuk bekerjasama penuh termasuk mengemukakan dokumen yang diperlukan.

“Saya serahkan pada jawatankuasa, mereka boleh jalankan tanggungjawab dan saya bersedia untuk memberi apa-apa juga dokumen atau keterangan yang diperlukan,” katanya.

Azam berkata, setakat ini beliau belum dipanggil untuk memberikan keterangan namun tetap bersedia memberikan kerjasama dan menyerahkan semua dokumen berkaitan sekiranya perlu.

“Ada dokumen peribadi saya akan tunjuk pada merekalah (Jawatankuasa Khas Siasatan) contoh dokumen bank, tak kan saya hendak tunjuk pada orang yang tiada berkaitan pula,” katanya.

Katanya, beliau telah memberikan kerjasama penuh kepada polis berhubung siasatan yang dijalankan.

“Sudah, saya telah berjumpa mereka, tetapi saya akan beri mereka dokumen itu, dokumen sama yang akan saya berikan kepada jawatankuasa,” katanya.

Beliau juga telah menyerahkan surat tuntutan (LOD) kepada Bloomberg dan akan meneruskan tindakan saman sekiranya tiada maklum balas dalam tempoh 14 hari yang ditetapkan.

Terdahulu, media melaporkan terdapat gesaan daripada pelbagai pihak agar Azam direhatkan daripada jawatan selepas Bloomberg dalam laporannya mendakwa beliau memiliki saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.

Bagaimanapun Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lepas berkata, tiada keperluan segera untuk merehatkan Azam sebaliknya menyerahkan kepada jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk melakukan siasatan terlebih dahulu.

Jawatankuasa khas berkenaan dipengerusikan oleh Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dan turut dianggotai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican. – Bernama – 15/2/2026

Azam Baki sedia disiasat berhubung pemilikan saham

Tiada apa yang hendak disembunyikan… Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menyatakan kesediaan beliau untuk disiasat oleh mana-mana jawatankuasa bebas yang ditubuhkan kerajaan berhubung isu pemilikan saham yang dikaitkan dengannya.

Tegasnya, beliau tidak mempunyai sebarang perkara untuk disembunyikan dan semua pengisytiharan kewangan serta harta telah dibuat mengikut peraturan perkhidmatan awam yang berkuat kuasa melalui saluran rasmi ditetapkan.

“Saya ingin menegaskan bahawa saya terbuka sepenuhnya untuk disiasat oleh mana-mana jawatankuasa bebas yang ditubuhkan oleh Kerajaan bagi meneliti secara khusus perkara berkaitan pemilikan saham saya.

“Saya tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan. Semua pengisytiharan kewangan dan harta telah dibuat selaras dengan peraturan perkhidmatan awam yang berkuat kuasa serta melalui saluran rasmi yang ditetapkan, sebagaimana yang diwajibkan ke atas setiap penjawat awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azam berkata, beliau mengalu-alukan sebarang proses yang telus, bebas dan objektif bagi menentukan fakta berasaskan bukti serta menurut prinsip keadilan dan keluhuran undang-undang.

Menurutnya, pendekatan itu penting bukan sahaja bagi mempertahankan integriti peribadi, malah untuk mengekalkan keyakinan rakyat terhadap SPRM sebagai institusi penguatkuasaan.

Beliau turut menegaskan bahawa mana-mana individu yang berhadapan dengan dakwaan sewajarnya bersikap terbuka dan bersedia untuk disiasat secara bebas dan telus tanpa pengecualian.

“Prinsip ini harus terpakai kepada semua tanpa pengecualian. Budaya akauntabiliti tidak boleh bersifat terpilih atau bermusim,” ujarnya.

Dalam pada itu, Azam berkata SPRM sentiasa mengambil maklum setiap laporan dan aduan yang dikemukakan mana-mana pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan dan akan menilai setiap maklumat berdasarkan undang-undang serta fakta yang diperoleh melalui proses siasatan yang sah.

Beliau menegaskan tiada sesiapa berada di atas undang-undang dan pada masa sama, tiada pihak yang seharusnya dihukum berdasarkan persepsi atau naratif media semata-mata.

“Saya yakin kebenaran akan dapat ditegakkan melalui suatu proses yang adil dan bebas,” katanya.-13/2/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button