
Rasuah…PM beri jaminan kerajaan tidak akan pilih jalur ‘hukuman tanpa siasat’
Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meleraikan kebimbangan dikalangan pegawai kerajaan pada kemungkinan ia bertindak semborono dalam usaha membenteras rasuah dan penyelewengan yang giat dilaksana kebelakangan ini.
Beliau menegaskan segalanya mesti ikut proses undang-undang.
Perdana Menteri beri jaminan beliau tidak akan pilih jalur ‘belum siasat mesti hukum dulu.’
Jangan kita gopoh kerana kebetulan orang itu kita tidak senangi atau bukan daripada kelompok kita.
“Ataupun kita berdendam kerana orang itu telah mengambil tindakan kepada kelompok-kelompok yang dikaitkan dengan kita. Kita harus beringat begitu. Apalagi bulan Ramadaan ini,” katanya.
Berucap pada perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya hari ini Anwar mengingatkan sebarang aduan ataupun tindakan diambil terhadap mana-mana pegawai atau agensi kerajaan mesti berasaskan undang-undang serta melalui proses siasatan yang teliti, bukan hukuman tanpa siasat atau dorongan politik.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata cara penyelesaian sesuatu isu seharusnya berlandaskan undang-undang dan sekiranya terdapat aduan yang benar, ia perlu dibawa ke mahkamah serta diproses sebagaimana sedang dibicarakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Saya tidak fikir saudara-saudara yang bekerja ini, berhempas pulas bertahun-tahun dalam semua agensi kalau ada kelemahan melampau, munasabah kita tegur. Salahnya kita perbaiki tapi jangan kita beri gambaran seolah-olah semuanya buruk,” katanya.
Anwar berkata tindakan menghukum sebelum siasatan terperinci dijalankan adalah tidak wajar.
“Orang yang berkorban puluhan tahun, dalam semua agensi, kalau kelemahan itu melanggar prinsipnya ataupun kesalahannya besar, ikut proses undang-undang dan kalau ada aduan-aduan yang berat (kita) bawa kepada prosesnya.
Kebelakangan ini sedang hangat polimek dakwaan melibatkan pemilikan saham terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.
Ini gara-gara laporan media antarabangsa Bloomberg mengenai isu berkenaan.
Bagaimanapun, Azam Baki pada sidang media baru-baru ini, menegaskan bahawa pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dibuat secara telus dan mengikut prosedur.
Perdana Menteri pada Jumaat lepas berkata tiada keperluan segera untuk merehatkan Azam sebaliknya menyerahkan kepada jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk melakukan siasatan terlebih dahulu.
Jawatankuasa itu dipengerusikan Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dan turut dianggotai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.- 19/2/2026



