
Jonker Walk jadi tumpuan pelancong sempena Tahun Baharu Cina
Kemeriahan sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) 2026 terus dirasai di seluruh negara dengan pelbagai aktiviti menarik sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM).
Di Melaka, mood sambutan jelas kelihatan di Jonker Street yang menjadi tumpuan pelancong tempatan dan luar negara.
Menariknya, tempat ini menjadi lokasi tepat untuk mempromosikan Malaysia sebagai negara berbilang kaum dan budaya kerana elemen asimilasi dan keharmonian antara kaum yang terserlah.
Kemeriahan TBC di Jonker Street Night Market membuktikan bahawa identiti majmuk negara bukan sekadar naratif sejarah kerana menawarkan pengalaman sebenar kepada pelancong dari seluruh dunia.
Disinilah Melaka memainkan peranannya, sebagai bandar bersejarah yang diiktiraf UNESCO, Melaka menjadikan warisan sejarah dan asimilasi budaya sebagai nadi utama tarikan pelancong.
Menurut Ahli Jawatankuasa Jonker Walk, Roger Tan Wei Jian, usaha menarik pelancongan tempatan dan antarabangsa juga akan dipergiat.
“Tahun ini, bersempena TMM 2026 dan Tahun Melawat Melaka, kami berharap dapat menarik lebih ramai pengunjung, berkemungkinan hampir 20 juta orang ke Jonker Walk.
“Selain pelancong tempatan, pengunjung antarabangsa kebanyakannya dari Singapura, Korea, serta China dan Taiwan. Pelawat dari negara – negara ini dijangka menyumbang jumlah pengunjung yang besar ke sini,” katanya.
Menurutnya, sebanyak 2,026 tanglung turut menghiasi Jonker Walk sebagai simbol sambutan TBC 2026, lengkap dengan replika kuda gergasi setinggi 5.49 meter sempena tahun kuda.
Bagi pelancong antarabangsa pula, kemeriahan di sini sememangnya jauh di luar jangkaan, terutamanya ketika sambutan Tahun Baharu Cina, apabila keunikan budaya bersulam dengan kekayaan sejarah yang tersimpan di setiap sudut Jonker Walk.
Pelancong dari China, Kiki Wushiqing, berkongsi pengalamannya yang terkejut dengan kekayaan budaya Cina di Malaysia.
“Saya rasa Malaysia mempunyai banyak budaya Cina di sini, ia sangat menyeronokkan dan saya gembira menyaksikannya,” katanya.
Sementara itu, pelancong Jerman, Dominik Jurczyk, berkata Jonker Walk memberi sambutan hangat kepada pengunjung dan menampilkan bandar warisan lama yang mengagumkan.
Manakala Nicole Gburczyk, juga dari Jerman memberitahu, salah satu sebab utama dia melawat Asia adalah untuk menyaksikan sambutan TBC.
“Saya tidak sangka ia diraikan dengan sebegini meriah di Malaysia. Ia benar-benar istimewa,” tambahnya.
Bagi pelancong tempatan, Aina Amirah, kemeriahan sambutan di Jonker Walk bukan sahaja menyeronokkan, malah menonjolkan kekayaan budaya yang membina perpaduan dan toleransi antara masyarakat berbilang kaum.
“Toleransi sangat penting, kerana semasa perayaan, kita dapat melihat kepelbagaian budaya yang wujud di sini. Malaysia mempunyai masyarakat Melayu, Cina, dan India.
“Apabila perpaduan kaum ini terjalin, suasana perayaan menjadi lebih meriah dan menyeronokkan,” katanya lagi.-19/2/2026



