TAHUKAH ANDA

Isu ART: Zafrul selar Rafizi… tak habis-habis nak spin

Bertemu buku dengan ruas… ‘panglima’ baru PKR Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz melancarkan serangan terhadap bekas Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Rafizi Ramli supaya tidak terus memutar belit fakta berkenaan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia–Amerika Syarikat.

Menurut beliau, dakwaan Rafizi kononnya negara kini perlu membayar tarif dua kali ganda susulan keputusan Mahkamah Agung AS bersabit ART baru-baru ini adalah tidak berasas.

Zafrul yang juga bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata keputusan Mahkamah Agung AS menolak tarif yang dikenakan secara global oleh Presiden Donald Trump itu secara tidak langsung bermakna tarif 19 peratus yang dikenakan ke atas Malaysia sebelum ini juga tidak terpakai.

Menjelaskan lebih lanjut, Zafrul berkata, ART merupakan perjanjian bagi memastikan Malaysia bersedia lebih awal terhadap sebarang kemungkinan risiko perdagangan.

“Konsep perjanjian ART ini sebenarnya mudah, dia macam insuran perjalanan, masa nak melancong orang selalu fikir takkan jadi apa-apa, tapi bila masuk hospital luar negara bil boleh mencecah puluhan ribu ringgit.

“Waktu itu barulah kita nak faham kenapa bayar takaful itu penting. ART ini pun sama, kita bersedia dari awal dengan sediakan payung sebelum hujan,” katanya menerusi video yang dimuat naik di laman sosial beliau pada Isnin.

Tambah Zafrul, Malaysia menyedari kes melibatkan tarif oleh Trump itu sedang berjalan di Mahkamah Agung AS.

Namun, ujarnya, Malaysia tidak boleh menunggu sehingga keputusan itu selesai kerana situasi akan menjadi berbeza sekiranya keputusan mahkamah tersebut memihak kepada Trump.

Sedangkan, tambah beliau, dalam perdagangan global hari ini, negara yang lambat bertindak dan bergerak terpaksa membayar harga yang mahal.

“Sebab itu kita mestilah bertindak awal dan kita bukan satu-satunya negara yang ambil pendekatan ini. Kesatuan Eropah, United Kingdom, Korea, Jepun dan terkini jiran kita Indonesia juga telah capai persefahaman dengan AS.

“Adakah semua negara ini juga tergesa-gesa? Atau mereka juga mahu beri kepastian kepada industri-industri masing-masing?” soalnya.

Tambah Zafrul, pada akhirnya, isu berkenaan ART bukan soal siapa paling kuat bercakap tetapi tentang siapa paling awal bertindak untuk melindungi ekonomi negaranya.

Tegas beliau, Malaysia memilih untuk bertundak proaktif kerana setiap keputusan perdagangan melibatkan pekerjaan rakyat dan masa depan industri negara.

“Ada orang tunggu ribut datang lepas itu sibuk bercakap tentang cara nak selamat, kita pula pilih untuk pasang payung awal supaya rakyat tak perlu basah baru nak cari tempat berteduh,” katanya.-23/2/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button