
Gara-gara nak ‘selamatkan’ janggut panjang suami Heliza…
Kata orang ‘sendiri boleh pilih samaada nak ketawa atau menangis’ mendengar kes mahkamah melibatkan suami penyanyi dan aktivis, Heliza Helmi yang didakwa menjalankan perniagaan sekuriti tanpa lessen di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin.
Bunyi kisah Datuk Mahadi Badrul Zaman ini agak lawak sikit.
Semasa prosiding kes itu,peguam, Datuk Mohd Zamri Mohd Idrus yang mewakili Mahadi telah membuat rayuan kepada mahkamah agar anak guamnya dibebaskan dengan jaminan.

Beliau buat rayuan itu di hadapan Hakim, Azrul Darus dan Norma Ismail.
Tahukah anda apa alasan yang diberikan peguam itu kepada hakim.
Semua orang cukup kenal suami Heliza ini sudah sekian lama simpan janggut yang panjang.
Mohd Zamri dalam rayuannya kata ,“jika jaminan tidak dibenarkan dan Mahadi dipenjarakan, janggutnya yang panjang mungkin akan dipotong, ini akan memberi kesan kepada anak guam.
“Saya mohon mahkamah ambil kira, Mahadi perlu menanggung ibunya yang menghidap kanser dan keluarga mentua,” kata peguam itu.
Bagaimanapun, Pegawai pendakwa Suruhanjaya Sekuriti (SC), Danial Imran Nasaruddin mencadangkan, mahkamah mempertimbangkan kepentingan awam serta keyakinan pelabur dalam pasaran sekuriti sebelum membenarkan jaminan terhadap tertuduh.
Beliau berkata, pendakwaan mencadangkan mahkamah mengenakan jumlah jaminan sebanyak RM250,000 dengan dua penjamin.
“Ia termasuk syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SC sekali setiap bulan,” katanya..
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, kedua-dua mahkamah membenarkan Mahadi diikat jamin masing-masing sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan yang dicadangkan pendakwaan.

Mahadi, 43, didakwa sebagai wakil syarikat AUF MBZ Consortium PLT menjalankan berniaga dalam sekuriti sedangkan syarikat itu bukan pemegang Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal dan tidak berdaftar sebagai perniagaan sekuriti.
Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah villa, di Sunway South Quay, Subang Jaya antara 14 Jun 2021 dan 15 Februari 2024.
Pertuduhan dibuat mengikut subseksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dibaca bersama subseksyen 367(1) akta sama dan boleh dihukum bawah subseksyen 58(4) akta serupa.
Sekiranya disabitkan atas kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM10 juta atau dipenjarakan selama tidak melebihi 10 atau kedua-duanya.- 23/2/2026
Sementara itu bekas Pengerusi Majlis Penasihat Shariah (SAC) Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen yang sama hari ini atas dakwaan bersubahat berniaga dalam sekuriti tanpa lesen sah, tiga tahun lalu.
Mohd Daud didakwa selaku wakil syarikat aktiviti jual beli komoditi, Energy Eco Berhad, bersubahat dengan AUF MBZ apabila AUF MBZ menjalankan suatu urusan dalam aktiviti terkawal iaitu berniaga dalam sekuriti.
Ia sedangkan AUF MBZ bukan seorang pemegang Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal dan juga bukan berdaftar bagi aktiviti terkawal, iaitu berniaga dalam sekuriti, di mana kesalahan AUF MBZ dilakukan akibat persubahatan Energy Eco.
Mohd Daud dengan itu sebagai wakil Energy Eco ketika berlakunya kesalahan berkenaan, disifatkan melakukan kesalahan terbabit.
Ia didakwa melakukan kesalahan itu, di C6-1, Jalan Reef ½, Pusat Perniagaan Reef, Rawang, dalam Daerah Gombak, antara 14 Jun 2021 dan 9 Ogos 2023.
Dia didakwa mengikut Seksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dibaca bersama perenggan 370(c) dan Seksyen 367(1) Aktasama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 58(4), akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10 juta atau dipenjarakan tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Sekuriti (SC), Shoba Venu Gobal kepada mahkamah, pertuduhan yang dikemukakan terhadap tertuduh adalah termasuk dalam kesalahan yang tidak boleh dijamin.
Beliau berkata, kesalahan berkenaan adalah berat dan serius jika dikira mengikut hukuman, dengan itu mencadangkan jaminan sebanyak RM200,000 dengan dua penjamin, pasport hendaklah diserahkan kepada mahkamah dan perlu melapor sebulan sekali di pejabat SC terdekat.
Bagaimanapun, peguam Mohd Haziq Razali memohon supaya jaminan dikurangkan RM50,000 dengan alasan anak guamnya memberikan kerjasama baik dengan pihak berkuasa sepanjang siasatan dari tahun 2024.
Mahkamah kemudian membenarkan Mohd Daud diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dimohon pendakwaan dan menetapkan 10 April ini untuk untuk sebutan kes. -23/2/2026



