Monday - 21, April 2025

Kopi Luwak Musang Pandan Cikole

Share




CATATAN HELME HANAFI ( BAHAGIAN KE EMPAT)….

PAGI ITU isteri saya mahu ke Institut Teknologi Bandung (ITB) atma mater abang sulungnya yang kami panggil Abang Aden mendapat pendidikan tinggi awal tahun 70an.

Agus kemudian memandu ke arah Lembang melalui jalan pintas yang katanya hanya dilalui orang tempatan.

Mana tidaknya, kereta kami melalui lereng gunung Tangkuban Perahu menuju ke Desa Cikole yang terkenal dengan kilang kopi luwak halal di Bandung dan Indonesia.

Kilang yang diusahakan oleh seorang doktor haiwan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan dan Majlis Ulama Indonesia.

Ketika kami sampai, waktu nak dekat solat Jumaat jadi sepi pengunjung, staf kilang, abang Jenal menunjukkan kepada kami proses dari awal pembuatan kopi luwak. Hampir 30 minit berkeliling di kawasan kilang.

Ada lebih 100 musang pandan yang dipelihara dalam sangkar dan diberikan 500 gram buah kopi pada hari Isnin dan Khamis.

Dari 500 gram tersebut, hanya 200 gram yang akan dimakan dan kemudiannya disaring untuk dipilih kopi jantan/betina. Dijemur, digoreng dan dijadikan serbuk kopi.

Di kilang ini boleh menikmati kopi luwak yang dijual secawan 150 ribu atau RM45 duit kita.

Itu di kilangnya, kalau di Jakarta harga akan jadi 300 ribu atau RM100 duit kita. Memang eksklusif kopi kuwak Cikole ini.

Kebetulan semasa menikmati kopi luwak, ada pelancong dari Yaman, Eiyad turut serta, beliau sering ke Malaysia dan pertama kali ke Bandung.

Sejujurnya saya bukan coffee lover, jadi tidak dapat membezakan rasa luwak Cikole yang didakwa kopi arabica paling sedap di Indonesia bahkan dunia.

Untuk tidak menghampakan beberapa kawan saya pecinta kopi, saya beli 15 paket kopi luwak Cikole untuk mereka nilai. Nak beli banyak lagi tapi mahal, sepaket RM15. Hahaha.

Dari kilang kopi, kami menikmati makan siang di Gubuk Makan Mang Engking yang pada tekak saya biasa-biasa saja.

Dari situ ke tempat wisita Floting Market di Lembang yang bayaran masuknya RM10 sekepala dan setiap kali hendak main kena bayar lagi.

Pilihan makanan yang dijual juga biasa-biasa saja. Jika anda punya jadual ketat di Bandung, saya tidak cadangkan ke sini.

Tambahan ketika cuti sekolah, Lembang macam Cemeron Highland, jalannya sesak dengan kereta berbaris panjang, mujur supir kami Agus tahu jalan pintas yang membelah banjaran Tangkuban Perahu dan tembus ke daerah Dago.

Cuma jalannya cukup teruk, berlubang sana sini, lereng gunung yang curam dan merbahaya. Bukan semua supir berani memandu di daerah ini.

Sampai balik ke Bandung, kami ke Pasar Baru untuk beli luggage kedua, yang dalam rancangan awal dibeli di Jogjakarta, tapi gagal. Isteri saya mendakwa beliau ‘terbeli’ tanpa sedar. Hahaha.

Pagi ini kami ke Jogja menaiki keretapi Argo Wilis kepunyaan kerajaan Indonesia. Saya menulis catatan ini ketika keretapi membelah pergunungan dari Jawa Barat ke Jawa Tengah melalui Jalur Selatan.

Kata seorang penumpang, saya patut cuba pulang ke Jakarta menggunakan Jalur Utara, jika Selatan menyajikan pemandangan gunung ganang, Jalur Utara menyajikan pandangan Samudera Hindi.

Boleh dicuba untuk trip akan datang.

Read more

khabar terbaru