
Waspada dengan sindiket penipuan dalam talian menjelang Aidilfitri
Orang ramai diingatkan supaya lebih berwaspada terhadap penipuan dalam talian menjelang sambutan Aidilfitri.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata tempoh berkenaan sering dimanfaatkan sindiket penipuan untuk memperdaya orang ramai melalui tawaran pelaburan tidak wujud, jualan murah tidak munasabah serta permintaan pinjaman wang melalui mesej yang menyamar sebagai kenalan.
Menurut beliau, pelbagai kandungan yang tersebar di media sosial seperti di Facebook, TikTok dan aplikasi pesanan seperti WhatsApp tidak semestinya sahih dan perlu disemak terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan diambil.
“Kita hari ini Ramadan ke-18, tinggal lagi 11 maksimum, mungkin 12 hari. Dan sudah pasti kita sekarang masing-masing dalam keluarga mula mengeluarkan, mengumpulkan dana untuk menyambut Aidilfitri.
“Sambil kita bersedia, scammer pun bersedia. Jadi pesanan saya kepada ibu-ibu, puan-puan, tolong hati-hati. Bukan semua yang kita baca dalam Facebook, dalam TikTok, dalam WhatsApp itu betul,” katanya demikian merasmikan Majlis Khatam Al-Quran Parlimen Lembah Pantai di Masjid Ar-Rahah di sini.
Dalam masa sama, Fahmi mengingatkan orang ramai agar segera menghubungi talian Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di 997 sekiranya menjadi mangsa penipuan.
Menurut beliau, laporan yang dibuat dalam tempoh sejam selepas transaksi berpotensi membantu pihak berkaitan termasuk Bank Negara Malaysia menyekat aliran wang daripada dipindahkan ke akaun lain.-9/3/2026



