KEMBARA

Perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya kembali beroperasi

Perkhidmatan tren MRT Laluan Putrajaya kembali beroperasi seperti biasa pagi tadi selepas kerja-kerja baik pulih bekalan kuasa selesai sepenuhnya.

Rapid Rail Sdn Bhd menerusi kenyataan memaklumkan, gangguan perkhidmatan yang berlaku pada 3 Mac lalu itu berpunca daripada kejadian kecurian kabel bekalan kuasa berhampiran Stesen Damansara Damai.

“Sehubungan itu, perkhidmatan tren alternatif serta bas perantara ulang-alik percuma yang disediakan bagi membantu penumpang meneruskan perjalanan sepanjang tempoh gangguan turut ditamatkan.”

Susulan kejadian tersebut, Rapid Rail telah membuat laporan polis dan sedang bekerjasama rapat dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan serta mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.

Di samping itu, pemantauan keselamatan di kawasan landasan dan fasiliti operasi turut dipertingkatkan melalui rondaan berterusan oleh pasukan polis bantuan bagi memastikan keselamatan infrastruktur serta kelancaran perkhidmatan.

Sepanjang gangguan berlaku, Rapid Rail telah menempatkan hampir 180 kakitangan tambahan di stesen-stesen yang terlibat.

Dalam masa sama, sebanyak 20 buah bas perantara percuma disediakan bagi membawa penumpang yang terjejas meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.-9/3/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button