Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, akan menyerahkan surat pemakluman kekosongan jawatan Ketua Pembangkang kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dalam masa terdekat.
Takiyuddin berkata urusan penyerahan surat itu tidak perlu tergesa-gesa asalkan surat peletakan jawatan Ketua Pembangkang sekarang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, sudah diketahui umum.
“Kita telah terima surat Datuk Hamzah pada 11 April. Beliau mengosongkan jawatan Ketua Pembangkang dengan alasan nak melihat suasana yang baik dan mungkin tindakannya itu boleh memudahkan proses dalam PN itu sendiri.
“Sebagai Ketua Whip, saya yang kena hantar (surat pemakluman kekosongan jawatan Ketua Pembangkang). Kita tak tergesa-gesa, yang penting surat Datuk Hamzah itu orang sudah tahu.
“Jadi, secara rasmi, saya kena maklumkan kepada Speaker, dalam minggu ini,” katanya.
Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum ini mengesahkan Hamzah, yang juga Ahli Parlimen Larut, bukan lagi Ketua Pembangkang selepas beliau menghantar surat peletakan jawatan berkenaan, pada 11 April.
Menteri Besar Terengganu itu turut memberitahu, pihaknya sudah mengarahkan Takiyuddin selaku Setiausaha Agung PN untuk menghantar surat pemakluman kekosongan jawatan itu kepada Speaker Dewan Rakyat.
Berhubung pengganti yang akan mengisi kekosongan jawatan itu nanti, Takiyuddin berkata calon sudah ada, namun belum lagi ditentukan dan akan diputuskan sebelum sidang Dewan Rakyat pada Jun ini.
“Lambat lagi, kita ada masa yang panjang dan kriteria (calon) bergantung kepada yang pertama adalah parti, kalau dari PAS, PAS kekalkan calonnya.
“Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang juga sebut pandangan semua Ahli Parlimen juga diambil kira dan kita sekarang ini ada 43 dari PAS, 19 dari Bersatu.
“Kita ambil (pandangan) secara umum pandangan Ahli Parlimen, siapa yang patut jadi sebab Ketua Pembangkang adalah jawatan penting, maka pemilihannya amat hati-hati,” ujarnya.-14/4/2026

