Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), JD Vance, memaklumkan sebarang tindakan dalam rundingan kini bergantung kepada Tehran.
Menurut Vance, Washington telah menetapkan garis merahnya dengan jelas dalam rundingan bersama Iran bagi menamatkan perang di Asia Barat.
Vance yang mengetuai delegasi AS bertemu pegawai Iran di Pakistan pada hujung minggu lalu, berkata rundingan itu bagaimanapun berakhir tanpa sebarang perjanjian bagi menamatkan serangan AS-Israel yang berlarutan lebih lima minggu terhadap republik Islam itu.
“Bagi saya, bola kini berada di gelanggang Iran kerana kami telah meletakkan banyak perkara di atas meja. Kami juga sudah menjelaskan dengan sangat jelas berkenaan garis merah kami,” katanya dalam temu bual bersama Fox News.
Beliau berkata terdapat dua perkara yang ditegaskan Presiden AS, Donald Trump, sebagai tidak boleh dirunding iaitu kawalan AS terhadap uranium diperkaya Iran dan mekanisme pengesahan bagi memastikan negara itu tidak membangunkan senjata nuklear pada masa depan.
“Ia satu perkara bagi Iran untuk mengatakan mereka tidak akan memiliki senjata nuklear. Tetapi ia perkara lain untuk kami mewujudkan mekanisme bagi memastikan ia tidak berlaku,” katanya.-14/4/2026

