Dakwaan Kerajaan Malaysia menghantar bekalan diesel ke Filipina seperti yang tular di media sosial adalah tidak benar, sebaliknya ia berpunca daripada salah faham berkaitan pergerakan logistik perkapalan di perairan Johor.
Menteri Komunikasi yang juga jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil berkata, bekalan diesel berkenaan bukan diproses oleh Petronas atau mana-mana syarikat minyak tempatan, tetapi dimiliki serta dijual oleh syarikat yang berpangkalan di Singapura iaitu Vitol.
“Timbul persoalan dalam media sosial mengenai minyak yang didakwa dihantar oleh Kerajaan Malaysia ke Filipina. Namun, penjelasan oleh pihak Petronas serta pihak Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) mengesahkan bahawa minyak tersebut bukan milik Malaysia.
“Sebaliknya, ia telah dijual oleh sebuah syarikat berpangkalan di Singapura iaitu Vitol, dan disimpan di sebuah gudang di Johor, di kawasan Tanjung Pelepas.
“Dalam konteks perkapalan, kapal yang berada di perairan Johor dianggap berlepas dari Malaysia. Perkara ini menjadi punca salah faham dalam kalangan segelintir pengguna Internet yang mendakwa diesel tersebut dihantar dari Malaysia.
“Hakikatnya, minyak berkenaan bukan diproses oleh Petronas atau mana-mana syarikat minyak tempatan, sebaliknya merupakan milik Vitol yang telah dijual kepada pihak Filipina, dengan kapal tersebut hanya berlepas dari perairan Malaysia,” lapor Bernama.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) di Terengganu, hari ini.
Fahmi berharap maklumat berkenaan dapat diperjelaskan kepada orang ramai bagi mengelakkan kekeliruan berhubung isu penghantaran minyak tersebut.
Media Filipina baru-baru ini melaporkan kira-kira 329,000 tong atau 52.311 juta liter diesel dari Malaysia telah dihantar ke Filipina bagi menambah bekalan bahan api negara itu ketika ketidaktentuan pasaran global.
Menurut laporan itu, penghantaran tersebut sebahagian daripada usaha kerajaan Filipina memperkukuh bekalan domestik, susulan penghantaran 142,000 tong atau 22.578 juta liter dari Jepun pada 26 Mac.
Bagaimanapun Petronas menegaskan pihaknya tidak pernah memeterai sebarang perjanjian dengan mana-mana pihak di Filipina berkaitan pembekalan diesel.
“Keutamaan utama Petronas kekal memastikan bekalan bahan api yang stabil dan berterusan untuk Malaysia, melalui penyelarasan rapat dengan kerajaan serta pihak berkepentingan berkaitan,” kata syarikat minyak nasional itu.
Sementara Pasukan Pengurusan Krisis Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) turut menafikan 329,000 tong diesel yang dihantar ke Filipina baru-baru ini berasal dari Malaysia.
MTEN turut menasihatkan agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi serta merujuk kepada sumber rasmi kerajaan.-14/4/2026

