Jauh sekali dari andaian dan spekulasi sesetengah pihak…Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin adakan sesi mengadap dalam suasana mesra dan harmoni dengan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail (TMJ).
Ia berlangsung di Istana Bukit Tunku,Kuala Lumpur.
Pertemuan itu sudah tentu mencuri perhatian ramai ekoran isu ‘bocor’ yang dibangkitkan Tunku Mahkota Ismail pada 20 Jun lalu, pada satu sesi bersama rakyat Johor di Muar.
Baginda mengulas kenyataan Anwar yang sebelum itu dilapor menyifatkan Johor sebagai negeri kaya tetapi berdepan masalah ‘kebocoran’.
Sehubungan itu, baginda bertitah agar Kerajaan Persekutuan mengembalikan sebahagian hasil dikutip daripada negeri Johor secara lebih munasabah bagi membolehkan pembangunan negeri itu dan kebajikan rakyatnya dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Baginda bertitah, Johor menyumbang lebih RM40 bilion setahun kepada Kerajaan Persekutuan tetapi hanya sekitar RM2 bilion hingga RM3 bilion dipulangkan semula kepada negeri itu bagi memenuhi keperluan hampir lima juta penduduknya.
“Sahabat saya, Perdana Menteri, baru-baru ini membuat satu kenyataan mengatakan Johor ini negeri kaya tetapi banyak ‘bocor’. Ya, memang banyak ‘bocor’. Kerajaan Persekutuan yang ‘bocorkan’ Johor,” titah baginda.
Dalam satu kenyataan selepas pertemuan itu Perdana Menteri berkata beliau dan Pemangku Sultan Johor sepakat untuk terus mengekalkan hubungan yang baik.
Kata Anwar hubungan dan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Johor juga akan dikukuhkan.
“Pertemuan yang berlangsung dalam suasana mesra dan harmoni ini memberi ruang baik untuk bertukar pandangan serta membincangkan perkara berkaitan kebajikan dan kesejahteraan rakyat, terutama di Johor,” katanya.
Gambar-gambar sesi menghadap itu turut dikongsikan Tunku Mahkota Johor menerusi akaun media sosial baginda.- 22/6/2026

