Barisan Nasional (BN) akan menyesuaikan formula politik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan berdasarkan demografi pengundi dan situasi setempat.
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendekatan BN di negeri itu bukan sekadar tertumpu kepada soal calon, sebaliknya perlu mengambil kira landskap politik negeri yang berbeza berbanding Johor.
“Ini bukan sekadar soal calon. Situasi di Negeri Sembilan tentunya berbeza kerana jumlah kerusinya juga berbeza, begitu juga demografi penduduk dan pengundinya.
“Maka formulanya perlu disesuaikan dengan situasi politik di Negeri Sembilan,” katanya pada sidang media selepas majlis amanat bersama Kontinjen TVET@KKDW ke WorldSkills Shanghai 2026 di ibu negara, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, BN akan mengumumkan calon bagi PRN Negeri Sembilan pada minggu ini.
Beliau turut mengulas laporan dakwaan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengenai perbincangan dengan UMNO berhubung PRN Negeri Sembilan.
“Apa yang dinyatakan itu tidak semuanya harus diterima sebagai satu kenyataan yang tepat kerana kita tidak ada sebarang perjanjian dengan PAS.
“Cuma kalau ada perbincangan pun sekadar persefahaman. Kita tidak memuktamadkan sebarang perbincangan itu,” tambahnya.
katanya.
Beliau berkata, BN akan terus memantau perkembangan berhubung perkara itu, namun mengingatkan supaya tidak terlalu yakin dengan kenyataan politik yang dibuat PAS.
“Kita lihatlah perkembangannya sebab di Johor kita telah melihat apa yang dinyatakan oleh mereka itu berbeza dengan realiti sebelum hari pengundian, terutamanya hari penamaan calon, apatah lagi pada hari pengundian.
“Jadi jangan positif sangat dengan mereka ini, cuma kita harus bersangka baik, tapi jangan positif. Mereka boleh tukar gol post bila-bila masa,” katanya.
Menurutnya, kenyataan mengenai perbincangan antara PAS dan UMNO itu bersifat kenyataan politik semata-mata.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan lebih 889,400 pengundi layak mengundi pada PRN Negeri Sembilan yang dijadual berlangsung pada 1 Ogos depan, manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 18 Julai ini.-13/7/2026

