Apa lagi dengan J-KOM ?…

Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) yang baru baru ini hangat dilanda isu rakaman ‘perbualan lucah antara dua lelaki’ dijangka akan terus menjadi jabatan yang curi perhatian.
Ini gara gara pengumuman Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil pada Rabu bahawa J-KOM akan dirombak bagi memastikan ia bergerak dengan modus operandi baharu.
Kalau dibuka balik latar belakang J-KOM ia ibarat sebuah jabatan yang ‘tak beres beres’.
J-KOM yang dulunya dikenali sebagai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) sebelum ini duduk dibawah bumbung Kementerian Penerangan ( Kementerian Komunikasi).
Kemudian ia dipindahkan ke bawah kuasa Jabatan Perdana Menteri dan terbaru sudah balik ke Kementerian Komunikasi.
Fungsi JASA pernah dipersoalkan sebagai agensi kerajaan yang tidak cekap walaupun mempunyai 1046 kakitangan dan perbelanjaan besar sebanyak RM74 juta.
Selepas pilihan raya umum 2018 yang menyaksikan kejatuhan kerajaan BN, Perdana Menteri baharu Tun Dr Mahathir Mohamad umum bahawa JASA serta beberapa buah agensi dan jabatan kerajaan akan dihapuskan.
Dr Mahathir berkata JASA telah dibubarkan kerana memiliki terlalu banyak unsur politik.
JASA dibubarkan sepenuhnya pada 15 Oktober 2018 dengan 300 orang penjawat awamnya diserap ke jabatan dan kementerian lain, sementara kakitangan kontraknya yang kebanyakannya berunsur politik ditamatkan.
Bagaimanapun pada 2020 kerajaan Perikatan Nasional umum JASA akan dijenamakan semula menjadi Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) dengan pengurangan peruntukan daripada jumlah asal.
Katanya J-KOM tidak akan disalah guna sebagai alat propaganda.
Baru ini selepas isu rakaman perbualan panas melibatkan bekas Ketua Pengarahnya dengan seorang pegawai bawahan J-KOM,jabatan itu dipindah balik ke Kementerian Komunikasi.
Belum reda isu itu….peranan J-KOM dalam isu Langkah Dubai telah dipersoalkan.
Timbalan Ketua Pengarah J-KOM, Datuk Ismail Yusop pada Sabtu lalu telah mendedahkan wujud ‘Langkah Dubai’ ketika percutian pemimpin Perikatan Nasional (PN) di Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.
Bagaimanapun Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang juga bekas Ketua Pengarah JASA menggangap imej J-KOM semakin merudum.
Dakwanya selain isu rakaman perbualan panas,analisis yang dilakukan Ismail Yusop berkenaan Langkah Dubai cetek.
“Analisis tersebut cetek, ia mengakibatkan kerajaan pula jadi defensif kerana beberapa nama disebut,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Media sebelum ini melaporkan, Ismail Yusop mendakwa gerakan tersebut untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut membabitkan tokoh politik veteran berpengaruh yang bergelar Tun menggunakan dana asing.
Ia didakwa bertujuan membahagikan tugas kepada ejen untuk mengenal pasti ahli Parlimen yang boleh menukar sokongan kepada pembangkang bagi membentuk kerajaan baharu.
Puad turut mempersoalkan mengenai keperluan Ismail Yusop yang memainkan isu Langkah Dubai.
“Lebih sesuai J-KOM fokus naratif kerajaan tebuk atap musibah dan tidak akan tercapai. Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan kata fatamorgana (khayalan),” tambahnya.
Fahmi Fadzil berkata, wujud keperluan untuk penyelarasan dilakukan terhadap fungsi dalam jabatan berkenaan pada masa depan bagi memastikan ia selari dengan hasrat Kerajaan Madani.
“Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk membuat pengumuman berkenaan perkara (rombakan dan penyelarasan J-KOM) berkenaan.
“Sebelum isu ini berbangkit memang saya sudah meneliti semula fungsi J-KOM dan melihat perlu ada penyesuaian beberapa fungsi tugas,” katanya.
Katanya, selepas ini, pihaknya akan mengubah modus operandi J-KOM, namun ia akan mengambil sedikit masa dan bergerak lebih positif selepas ini.
Mengenai pendedahan Ismail Yusop pasal Langkah Dubai ,Fahmi Fadzil menjelaskan beliau difahamkan kenyataan itu pada mulanya berasal daripada perbualan daripada Group Whatsapp yang disebarkan.
Sehubungan itu katanya, penyelarasan perlu dibuat bagi mengelak kejadian yang sama berulang semula.-3/1/2024