Tiada keputusan lesen B2 tukar ke B full automatik

TUNGGU punya tunggu tapi tak ada keputusan… itulah nasib geng-geng rider yang sabar menanti keputusan kerajaan atas cadangan supaya pemegang lesen motorsikal B2 boleh bertukar secara aotomatik ke B full.
Mulanya, kata kajian akan siap bulan Disember lepas, namun hari ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kementeriannya masih dalam kajian berhubung cadangan tersebut.
Menurutnya, cadangan itu masih di peringkat perbincangan di peringkat MOT kerana terdapat pelbagai pandangan mengenainya.
“Keputusan belum dibuat. Memang ada kajian dilakukan tapi ia masih di peringkat perbincangan lanjut kerana lesen B ini untuk motosikal berkuasa besar.
“MOT perlu melihat sejauh mana mereka yang mempunyai lesen kelas B2 ini mampu untuk membawa motosikal berkuasa besar, jadi itu juga menimbulkan kebimbangan daripada pelbagai pihak,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, tahun lalu berhubung cadangan menaik taraf lesen memandu motosikal bagi kelas B2 kepada B, secara automatik akan dibawa kepada MOT untuk diteliti terlebih dahulu.
Ahmad Zahid seperti dilaporkan media berpendapat, tidak ada masalah berhubung cadangan itu kerana penunggang motosikal yang mempunyai lesen kelas B2 memang memiliki pengalaman menunggang kenderaan berkenaan.
Bagaimanapun pelbagai pihak terutama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengesa cadangan itu diteliti sedalam-dalamnya terlebih dulu kerana ia boleh menimbulkan implikasi kepada sistem keselamatan jalan raya negara ini.
Presiden Persatuan Institut Memandu Malaysia (PIMA), Mat Aris Bakar, sebelum ini berkata langkah itu boleh menyebabkan sistem pengambilan lesen kenderaan di negara ini dilihat mundur kerana ia membabitkan kompetensi seseorang penunggang.
Loke berkata MOT ketika ini membantu pelajar memandu dengan menggabungkan ujian teori Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP Test) 01 untuk lesen B2 dan D.
Menurutnya, mana-mana individu yang telah mengambil lesen motosikal, mereka tidak perlu lagi mengulangi ujian itu untuk lesen D (kereta).
“Perkara ini telah digabungkan. Ini memudahkan pelajar-pelajar kerana mereka tidak perlu ulang KPP 01 untuk teori,” katanya.