Pelik…apa cerita kes tiga ditahan cuba ceroboh kediaman MB Selangor…?

Agak pelik kes tiga lelaki yang ditahan kerana disyaki menceroboh masuk ke kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Shah Alam petang Jumaat.
Ini lebih lebih lagi salah seorang yang ditahan dikatakan wartawan sebuah portal berita milik sebuah parti politik.
Lebih mencuri perhatian wartawan itu ditahan ketika dia bersembunyi di bahagian belakang sebuah kereta Proton Waja dibawa oleh dua lelaki berkenaan.
Soalnya apa motif mereka bertindak pelik begitu.
Kenapa wartawan berkenaan sampai perlu bersembunyi belakang kereta untuk curi masuk.
Kalau setakat nak jumpa Menteri Besar Datuk Seri Amiruddin Shaari ada banyak cara lain.
Selain memohon temu janji ikut proses biasa …mereka boleh pergi ke berbagai acara sekitar Selangor yang Menteri Besar hadir untuk berjumpa beliau.
Selama ini belum pernah dengar ada wartawan yang buat perangai pelik macam itu.
Ikut laporan polis yang dibuat pengawal kediaman rasmi Menteri Besar kejadian berlaku jam 5 petang Jumaat.
Wartawan itu asalnya cuba masuk kediaman itu tetapi dihalang polis pengawal.
Apabila cubaan itu gagal maka wartawan itu menyelinap bersembunyi di dalam sebuah kereta Proton Waja yang dinaiki dua lelaki lain yang mendakwa hendak masuk rumah Menteri Besar untuk bermesyuarat.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim mengesahkan tiga orang berkenaan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan menceroboh.
Katanya, pihak polis telah memohon perintah reman terhadap mereka.- 6/1/2024