FOKUS

Perikatan Nasional makin semput…

Ada juga terdengar suara yang pertikai Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal bila beliau adakan sidang akhbar pada Jumaat dakwa 10 lagi Ahli Parlimen PN akan umum sokong kepemimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Ini kerana Ahli Parlimen dari parti Bersatu itu berdepan masalah kredibiliti dalam bab lompat melompat.

Beliau asalnya dari UMNO (BN) kemudian lompat jadi Bebas lepas itu masuk PN dan selanjutnya umum sokong Anwar.

Baru baru ini Syed Abu Hussin yang merupakan seorang ahli perniagaan dakwa ada tujuh ke lapan Ahli Parlimen PN akan ‘lompat’ sokong Perdana Menteri dalam masa terdekat.

Tolak sebelah bab kredibilitinya…apa yang didakwanya nyata betul bila Ahli Parlimen PN Tanjung Karang, Zulkafperi Hanapi pula lompat pada 24 Januari baru ini.

Jumlah terkini Ahli Parlimen PN dari Bersatu yang ‘lompat’ termasuk dirinya dan Zulkafperi sudah enam orang.

Selain mereka….empat lain ialah Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Faktanya ialah semua mereka sekadar umum sokong Anwar tetapi tidak keluar parti kerana adanya Akta Lompat Parti yang mewajibkan mereka kosongkan kerusi jika lompat dalam erti kata sebenar.

Pada pilihanraya umum ke 15 lalu PN menang 74 kerusi iaitu 31 dari Bersatu dan 43 dari PAS.

Dalam sidang akhbar itu Syed Abu Hussin kata semuanya 10 lagi wakil rakyat PN lagi yang akan lompat termasuk Ahli Parlimen Tanjung Karang, Zulkafperi Hanapi yang sudah umum.

Maka ini bermakna ada sembilan lagi.

Beliau enggan sebut nama Ahli Parlimen yang berkenaan.

Namun beliau memberi bayangan ia akan berlaku sebelum Dewan Rakyat mula bersidang 28 Feb ini.

Beliau guna ‘fomula’ 8+3 yakni bagi kawasan utara – Kedah, Pulau Pinang, dan Perak – ada lima orang. Kawasan Pantai Timur – Kelantan, Terengganu dan Pahang – tiga orang, dan kawasan tengah (Selangor dan Melaka), tiga orang lagi.

Jika benar bagai didakwa maka Ahli Parlimen PN dari Bersatu akan tinggal 20 orang.

Apa pun buat masa ini belum kedengaran kalangan Ahli Parlimen PN dari parti PAS yang akan ‘lompat’.

Tandatanya yang berlegar ialah mengenai kemungkinan parti Bersatu akan semput tidak bermaya dengan tindak tanduk Ahli Parlimen mereka.

Setakat ini belum dapat dipastikan samaada keretakan dikalangan Ahli Parlimen parti itu mempunyai kesan dikalangan penyokong di peringkat bawahan.

Namun baru baru ini dalam pilihanraya kecil kawasan Parlimen Kemaman dimana Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Shamsuri Mokthar dari parti PAS turun padang sebagai calon, PN terus mendapat sokongan besar pengundi.

PN menerusi Bersatu meraih sokongan besar di kerusi Parlimen di kawasan pantai Barat semenanjung semasa PRU 15.

Banyak kerusi yang dulu dimenang calon UMNO-BN tumbang kepada PN-Bersatu.

Juga tidak kurang menarik Syed Abu Hussin dakwa dalam sidang akhbar itu Bersatu kini terbahagi kepada dua kumpulan iaitu ‘Kem Presiden’ dan ‘Kem Setiausaha Agung’.

Dakwanya ini selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat pusingan ‘U’ ketika mengumumkan akan mempertahankan jawatannya di perhimpunan parti itu November lalu.

Sedangkan sehari sebelum itu umum tidak akan pertahankan jawatan.

Beliau mendakwa, kesemua 31 Ahli Parlimen Bersatu sebenarnya menyokong Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Setiausaha Agung yang juga Ahli Parlimen Larut untuk memimpin parti itu.

Bagaimanapun, katanya, ia mengundang kecewa di kalangan Ahli Parlimen tersebut apabila Muhyiddin membuat pusingan ‘u’ untuk mempertahankan jawatannya sebagai Presiden parti pada pemilihan akan datang.

“Secara keseluruhannya kami melihat Larut mempunyai potensi sangat besar untuk memimpin Bersatu. Pada masa sama, Larut juga dilihat ada kesediaan dan kebolehan tersebut.

“Saya tidak mahu mengesahkan (adanya kem dalam Bersatu, tetapi memang ada,” katanya pada sidang media yang diadakan di kediamannya di Puchong.

Syed Abu Hussin berkata, tindakan Muhyiddin itu menjadikan Bersatu tiada hala tuju jelas untuk mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

“Kami sebagai ahli Bersatu sebahagian besarnya mahu melihat kepimpinan parti diberi nafas baharu namun Presiden ‘U-turn’, ini keputusan sangat besar kerana berkaitan hala tuju parti.

“Beliau mahu bawa Ahli Parlimen untuk membina masa depan negara tetapi boleh buat ‘U-turn’ dengan mudah atas permintaan isteri.

“Saya tidak salahkan isteri beliau, tetapi keputusan sebagai pemimpin parti dengan berdepan pelbagai cabaran maka ia sangat penting,” katanya.

Muhyiddin menjelaskan buat keputusan itu selepas berbincang dengan isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman yang mahu beliau untuk terus mencurahkan khidmat kepada negara.

“Sebenarnya, kuasa yang paling besar yang saya nak sebutkan di sini bukan Perhimpunan Agung Tahunan. Kuasa besar (keputusan dibuat) tidak lain adalah isteri saya,” katanya.

Tegas Syed Abu Hussin, tindakan Muhyiddin tersebut menyebabkan kepimpinan Bersatu melemahkan moral mereka kerana menunjukkan bahawa parti tersebut tidak mempunyai hala tuju jelas.

“Oleh kerana hala tuju parti tak berap jelas, peluang untuk kepimpinan mengatur strategi baharu menghadapi PRU-16 akan datang juga menjadi gelap,” katanya.- 26/1/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button