Wednesday - 2, July 2025

Isu pencen punya cerita…

Share

Salah satu yang buat kalangan pekerja swasta cemburu pada kakitangan awam ialah andaian tentang skim pencen.

Sekalipun pekerja swasta diakhir khidmat dan bila cukup usia terjamin dapat ‘selepuk’ duit KWSP namun ada yang merasakan pencen lebih beri jaminan pada hari tua.

Ini kerana pesara kakitangan awam terus terima ‘gaji’ tiap tiap bulan hingga ke akhir hayat.

Maka tidak hairanlah timbul sikit polimek bila semalam,Rabu Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi, umum kabinet bersetuju supaya perjawatan baru bagi kakitangan awam – yang berstatus tetap selama ini – akan ditukar kepada tidak berpencen.

Ini bermakna kakitangan awam yang sedia ada akan terus menikmati skim pencen manakala kakitangan baru nanti akan guna skim KWSP seperti pekerja swasta.

Ikut ceritanya langkah ini adalah untuk mengurangkan tekanan kewangan keatas kerajaan menampung perbelanjaan untuk emolumen.

Pemuda UMNO Malaysia terus tampil dengan cadangan supaya rancangan pemansuhan skim pencen dimulakan dengan wakil rakyat sebagai kumpulan sasar terawal sebelum dikembangkan ke pihak lain.

Ketuanya Dr Akmal Saleh berkata sayap Umno itu memahami tekanan kewangan yang sedang ditanggung oleh kerajaan ketika ini sehingga memerlukan kepada pemansuhan pencen penjawat awam.

“Tetapi biarlah pemansuhan skim pencen ini dimulakan oleh wakil-wakil rakyat terlebih dahulu.

“Tidak adil jika kita mansuhkan pencen mereka (kakitangan awam, tetapi kita (wakil rakyat) pula menikmati pencen sehingga mati.

“Tiada dua darjat antara wakil rakyat dan rakyat,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini,Khamis.

Akmal berkata Pemuda Umno berharap cadangan yang dilontarkan itu didengar oleh semua pihak termasuk pemimpin kerajaan mahupun pembangkang.

“Kerana kami percaya atas prinsip kepimpinan melalui teladan

“Mohon cadangan ini diambil kira dan dipersetujui oleh semua wakil rakyat sama ada dari kerajaan mahupun pembangkang,” katanya Akmal lagi.

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) juga mempunyai pendapat yang hampir sama.

Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat kata kerajaan perlu mengkaji semula pemberian pencen kepada ahli-ahli politik membabitkan wakil rakyat jika negara berdepan kekangan kewangan sehingga terpaksa menyekat skim saraan perkhidmatan awam.

Difahamkan kini kerajaan membelanjakan sehingga RM2 bilion setahun untuk membayar pencen bekas ahli parlimen dan bekas anggota Kabinet termasuk Perdana Menteri.

Menurut beliau, kerajaan sepatutnya memikirkan untuk memansuhkan pencen kepada kumpulan `orang politik’ terlebih dahulu kerana kebanyakan mereka berkhidmat sekitar lima tahun berbanding penjawat awam sehingga 30 tahun.

“Kumpulan ini bukan sahaja menerima elaun serta peruntukan yang tinggi semasa berkhidmat malah memiliki pelbagai keistimewaan berbanding penjawat awam yang secara purata berkhidmat lebih 30 tahun.

“Keutamaan kepada kerajaan ketika ini adalah mengkaji bagi kes-kes yang berkhidmat waktu singkat tetapi menikmati faedah saraan yang agak selesa dan bukannya menyasarkan kepada penjawat awam sahaja,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Adnan berkata, pihaknya berpandangan kerajaan tidak sepatutnya memansuhkan skim pencen penjawat awam yang secara puratanya berkhidmat untuk negara melebihi 30 tahun sebelum layak menerima faedah saraan.

Katanya, dengan skim gaji yang masih rendah dalam perkhidmatan awam ketika ini, skim caruman KWSP dilihat tidak membantu penjawat awam mempunyai simpanan hari tua yang baik selepas persaraan kelak.

“Disebabkan itulah kebanyakan penjawat awam lebih memilih skim pencen kerana ia adalah keistimewaan yang terbaik kepada mereka,” katanya.

Kata beliau, ketika ini penjawat awam dibenarkan membuat pilihan sama ada memilih skim berpencen ataupun caruman KWSP.

“Walaupun terdapat penjawat awam yang memilih skim caruman KWSP, tetapi kebanyakan mereka lebih memilih skim berpencen kerana ia dianggap sebagai lebih baik dan menjamin kesejahteraan selepas persaraan kelak,” katanya.

Oleh itu, kata Adnan, kerajaan sewajarnya mengadakan sesi libat urus terlebih dahulu dengan pihak-pihak berkepentingan sebelum terus menetapkan skim caruman KWSP secara mandatori kepada lantikan baharu.

Katanya, pandangan pihaknya amat jelas iaitu sekiranya kerajaan mahu melaksanakan sesuatu perkara perlulah berlandaskan prinsip tidak dikurangkan faedah semasa yang dinikmati oleh penjawat awam ketika ini.

“Kerajaan harus memastikan gaji yang diterima hari ini mampu memberi kesejahteraan hidup untuk penjawat awam dan dalam masa yang sama gaji ini mampu memberi simpanan untuk hari persaraan kelak. Sekiranya kerajaan tetap ingin menamatkan skim pencen ini, ia hendaklah terpakai kepada lantikan politik yang layak menerima pencen ketika ini,” katanya.- 25/1/2024

Read more

khabar terbaru