KEMASKINI : Lima terlibat kes bunuh pemandu di Semenyih berdepan hukuman gantung

Lima penghantar makanan berdepan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan dalam kes membunuh seorang pemandu selepas satu kemalangan di Taman Pelangi Semenyih minggu lalu.
Kelima-lima tertuduh itu ialah Mohd Yuree Ranoff Mohd Bachuri, 41; Azharul Azuan Mohd Azan, 34; Tengku Izham Tengku Hamid, 22; Mahazir Nordin, 43 dan Syamsul Qamar Ayob, 40.
Mereka didakwa di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi pada Selasa pagi.
Kelima-lima mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara antara 30 tahun sehingga 40 tahun dan tidak kurang 12 kali sebatan, jika sabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan, kesemua lelaki itu didakwa secara bersama-sama telah membunuh mangsa, Shahril Samad, 41, di Taman Pelangi Semenyih 2 di Beranang sekitar jam 9.54 malam pada 20 Februari lalu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Siti Nur Liyana Sulaiman manakala kesemua tertuduh diwakili oleh Peguam Mohd Hafiz.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan ke atas kelima-lima selain menetapkan 25 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi status laporan kimia, forensik dan bedah siasat.
Selepas prosiding kes itu selesai, kedengaran suara seorang lelaki yang dipercayai ahli keluarga mangsa menjerit “bang, kau tunggu!” ke arah kesemua tertuduh dari galeri awam sebelum diarah keluar daripada mahkamah oleh anggota polis.
Mereka berlima ditahan pada 21 Februari lalu ramai lima lelaki ditahan selepas dipercayai terlibat memukul seorang pemandu kereta di Taman Pelangi Semenyih 2, Kajang, selepas terlibat dalam kemalangan.
Pemeriksaan mendapati terdapat kesan seperti diikat pada pergelangan tangan mangsa dan pihak ambulans yang tiba di lokasi kejadian telah mengesahkan kematian mangsa.
Saksi di kawasan perumahan tersebut mendakwa telah melihat mangsa ditarik keluar dari Saga oleh sekumpulan lelaki sebelum dipukul.
Malah, tangan mangsa juga diikat sambil dibiarkan terbaring di tengah jalan.- 27/2/2024
Lelaki maut dipercayai dipukul selepas kemalangan sah positif dadah
SIASATAN awal polis mendapati lelaki berumur 42 tahun yang maut dipercayai akibat dipukul selepas kejadian langgar lari di Semenyih Selasa lepas, positif dadah jenis ganja dan methamphetamin, kata Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan.
Beliau berkata lelaki itu juga didapati mempunyai 10 rekod lampau membabitkan dadah serta satu rekod dikehendaki, juga bersabit kesalahan dadah.
“Hasil bedah siasat mendapati tiada kesan kecederaan yang ketara pada badan lelaki itu yang boleh membawa kepada kematian, namun kita masih lagi menunggu ujian makmal pathologi untuk mengesan punca sebenar kematian,” katanya ketika diminta mengulas perkembangan siasatan berhubung kejadian itu.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Petaling Jaya antara ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid kepada ACP Shahrulnizam Jaafar pada Jumaat.
Selain itu Hussein berkata polis juga telah menahan dua lagi suspek lelaki berusia 23 dan 40 tahun di sekitar Kajang semalam bagi membantu siasatan, dan mereka dijangka direman bagi membantu siasatan.
“Keseluruhannya polis telah menahan tujuh individu bagi membantu siasatan dalam kes ini. Dua pemandu yang terlibat dalam kemalangan melibatkan lelaki itu juga telah membuat laporan polis,” katanya.
Dalam kejadian pada 9.20 malam itu, sebuah kereta Proton Saga terbabas dan melanggar pagar kawasan perumahan berkenaan sebelum pemandunya ditarik keluar oleh sekumpulan lelaki lalu dipukul, diikat dan dibiarkan terbaring di atas jalan berhampiran keretanya.
Pihak ambulans yang tiba kemudiannya mengesahkan pemandu itu meninggal dunia di lokasi kejadian.
Sementara itu, mengulas tentang kes pembunuhan kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin 6 Dis lepas Hussein berkata, tiada maklumat baharu diperoleh oleh pihaknya walaupun wang RM20,000 ditawarkan oleh Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) kepada sesiapa yang mempunyai maklumat bagi membantu siasatan.
“Sehingga hari ini tiada individu tampil untuk memberikan maklumat baharu mengenai kes berkenaan, bagaimana kami tidak berputus asa dan akan terus menjalankan siasatan,” katanya.— BERNAMA-23/2/2024