FOKUS

KEMASKINI: Anak MB Perlis mengaku tak bersalah tuduhan tuntutan palsu…

Mahkamah Sesyen Kangar menjadi tumpuan pada Khamis bila anak kepada Menteri Besar Perlis, Mohd Syafeeq Mohd Shukri didakwa dibawah pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu RM19,505.10.

Tuntutan berkenaan berkaitan perkhidmatan menyediakan minuman untuk kegunaan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar.

Mohd Syafeeq,35 yang juga menantu Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang tiba di kompleks mahkamah Kangar sekitar jam 8 pagi bersama beberapa orang rakannya.

Pemilik syarikat itu dituduh mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (2) akta sama.

Sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai butiran palsu atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.

Beliau mengaku tidak bersalah serta minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norsalha Hamzah.

Mohd Syafeeq didakwa memberikan satu dokumen Pesanan Kerajaan (Bekalan/Perkhidmatan) Kerajaan Negeri Perlis bertarikh 14 Februari 2024 berjumlah RM19,505.10 atas nama Mohd Farid Abdul Hamid.

Dokumen terbabit berkaitan perkhidmatan menyediakan minuman untuk kegunaan Tuanku Raja Perlis di HTF yang didapati mempunyai butiran palsu.

Mahkamah menetapkan ikat jamin RM20,000 dan membenarkan syarat tambahan dimohon pihak pendakwaan serta 28 Jun depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. Tertuduh membayar ikat jamin yang dikenakan.- 23/5/2024

Kes tuntutan palsu…anak MB Perlis akan didakwa esok,Khamis

Anak kepada Menteri Besar Perlis yang ditahan reman oleh SPRM dalam kes mengemukakan tuntutan palsu bernilai RM600,000 pada 24 April lalu dan kemudian dibebaskan dengan jaminan pada 26 April akan didakwa di mahkamah esok, Khamis.

Turut sama akan didakwa ialah seorang bekas Setiausaha Politik.

Difahamkan mereka akan hadapi pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Pada 24 April lalu anak kepada MB Perlis antara enam individu yang direman oleh SPRM bagi membantu siasatan pemalsuan dokumen tuntutan palsu berjumlah RM600,000.

Turut direman ialah pegawai kanan pejabat Menteri Besar Perlis.

Suspek berusia antara 27 hingga 37 tahun ditahan bagi membantu siasatan berkaitan pelaksanaan projek pembangunan prasarana seperti membaik-pulih, menyelenggara, perbekalan dan perkhidmatan di seluruh Perlis sejak 2022.

Mereka kemudian dilepaskan pada 26 April lalu dengan jaminan sebaik tempoh reman tamat.

Susulan siasatan yang dijalankan, SPRM pada 30 April lalu menahan MB Perlis, Mohd Shukri Ramli bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 membabitkan isu salah guna kuasa.

Beliau ditahan kira-kira jam 11 pagi semasa hadir ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, sebelum dibebaskan dengan jaminan kira-kira jam 7 malam.- 22/5/2024

KEMASKINI : Anak MB Perlis, empat yang lain dilepas dengan jaminan SPRM

KANGAR – Anak lelaki Menteri Besar Perlis yang direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak Rabu, dilepaskan dengan jaminan SPRM pada Jumaat.

Turut dilepaskan hari ini ialah empat individu lain, yang turut ditahan bagi membantu siasatan dalam kes mengemukakan tuntutan palsu bernilai RM600,000.

Menurut sumber, kesemua suspek dilepaskan dengan jaminan RM10,000 dan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan.

Selasa lalu, SPRM menahan enam individu dipercayai terlibat dengan kes tersebut, ketika hadir bagi dirakamkan keterangan di Pejabat SPRM Perlis, di sini.

Susulan itu, kesemua suspek telah direman dua hari bermula Rabu dengan seorang daripada mereka dilepaskan semalam.

Kesemua suspek ditahan kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu membabitkan pelaksanaan projek pembangunan prasarana seperti membaik pulih, menyelenggara, pembekalan dan perkhidmatan di seluruh Perlis sejak 2022.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi, mengesahkan perkara tersebut.

Dalam pada itu, peguam yang mewakili kesemua suspek Mohd Fadhly Yaacob ketika ditemui di sini berkata pihak SPRM, bebas untuk memanggil semula anak guamnya untuk melengkapkan siasatan sekiranya ada keperluan.

“Semua yang ditahan telah dilepaskan, semalam seorang dan hari ini lima orang…jadi semua selesai untuk apa-apa sepanjang tiga hari ini, selesai hari ini…dilepaskan dengan jaminan SPRM. Sekiranya ada keperluan untuk hadir ke pejabat SPRM bagi keterangan, mereka akan hadirlah,” katanya. – Bernama-26/4/2024

KEMASKINI : Saya tidak gundah gulana…kalau anak saya salah hukumlah – MB Perlis

Seperti yang beliau janjikan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli mengulas di sidang Dewan Undangan Negeri mengenai penahanan anaknya oleh SPRM dalam kes tuntutan palsu berjumlah RM600,000.

“Saya hadapi ujian besar ini dengan tenang, saya terima ujian ini. Kalau anak saya didapati bersalah , hukumlah dia. Saya sudah berikan ilmu secukupnya kepada dia, sebab itu saya tidak gundah gulana,” katanya.

Pemimpin PAS yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Sanglang itu juga kata bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan siasatan yang dijalankan.

Awal hari Khamis SPRM melanjutkan tahanan reman terhadap anak lelakinya sehingga esok bersama empat lagi individu yang terbabit dalam kes sama.

Kesemua suspek berusia 26 hingga 37 tahun itu ditahan oleh SPRM antara pukul 7 dan 8 pagi Selasa lepas di sekitar Perlis.

Siasatan dilakukan berhubung kesalahan berkaitan pemalsuan dokumen dalam membuat tuntutan palsu, sedangkan kerja-kerja berkenaan tidak dilaksanakan.

Keseluruhan projek berkenaan melibatkan kerja-kerja baik pulih, penyelenggaraan, pembekalan dan perkhidmatan bermula dari 2022 sehingga kini dianggarkan bernilai RM600,000.

Ketika sesi penggulungan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di Kangar Mohd Shukri kata,”ia termasuk juga pegawai saya di mana saya selalu berpesan mengenai perkara ini dan jika terbabit juga, saya sudah habis ikhtiar,” katanya.

Beliau turut mengakui wujud kelemahan dalam pentadbiran negeri dengan mengatakan dirinya mudah mempercayai semua orang namun mengingatkan bahawa tiada orang yang kebal terhadap undang-undang termasuk dirinya.

“Memang, kelemahan saya dalam pentadbiran terlalu baik dan percaya semua orang saya beri kebebasan tetapi harus diingat tidak siapa kebal undang-undang termasuklah saya.

“Malah salah seorang yang disiasat itu adalah anak saya dan pada pagi (SPRM) datang, mereka geledah rumah saya (di Sungai Padang) kemudian Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) tempat saya asuh anak-anak dan kemudian bawa anak saya pergi untuk direman.

“Sekali lagi saya tegaskan bahawa pejabat saya buka 25 jam (setiap masa) sehari untuk pemeriksaan SPRM kerana saya tidak mahu berlaku sebarang penyelewengan dan biarlah ia dalam keadaan bersih dari unsur tidak baik,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shukri melahirkan rasa kecewa terhadap SPRM berhubung prosiding kes berkenaan kerana hanya menyebut anak kepada Menteri Besar Perlis dan bukan nama sebenar individu yang ditahan.

Sementara itu Ketua Persuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki kata SPRM akan membuat beberapa lagi tangkapan bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu berjumlah RM600,000 itu.

Katanya ia bagi membuktikan kesalahan yang berlaku berhubung kes berkenaan.

“Beberapa pihak akan dipanggil untuk memberi keterangan,” katanya kepada media selepas merasmikan pejabat SPRM cawangan Gua Musang, Kelantan Khamis. – 25/4/2024

KEMASKINI : Tahanan reman lima individu termasuk anak MB disambung hingga esok

Tahanan reman terhadap anak lelaki seorang menteri besar dilanjutkan hingga esok bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan dokumen dan tuntutan palsu bernilai RM600,000 sejak dua tahun lepas.

Selain itu tempoh reman empat lagi individu dalam kes yang sama turut dilanjutkan hingga esok, manakala seorang penjawat awam di Pejabat Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri berusia 20-an yang juga direman sebelum ini, dibebaskan setelah siasatan terhadapnya selesai.

Majistret Ana Rozana Mohd Nor membenarkan lanjutan reman itu selepas menerima permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menjalankan siasatan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Kesemua suspek berusia 26 hingga 37 tahun itu ditahan oleh SPRM antara pukul 7 dan 8 pagi Selasa lepas di sekitar Perlis.

Menurut sumber siasatan dilakukan berhubung kesalahan berkaitan pemalsuan dokumen dalam membuat tuntutan palsu, sedangkan kerja-kerja berkenaan tidak dilaksanakan.

Katanya keseluruhan projek berkenaan melibatkan kerja-kerja baik pulih, penyelenggaraan, pembekalan dan perkhidmatan bermula dari 2022 sehingga kini dianggarkan bernilai RM600,000.

Sementara itu di Putrajaya, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM Datuk Azmi Kamaruzaman mengesahkan penahanan itu.Bernama – 25/4/2024

Anak MB Perlis dan lima lagi ditahan SPRM kes tuntutan palsu RM600,000

SPRM telah menahan enam orang termasuk anak kepada Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli bagi membantu siasatan pemalsuan dokumen tuntutan palsu berjumlah RM600,000.

Difahamkan seorang antara mereka ialah pegawai kanan pejabat Menteri Besar Perlis.

Mereka yang berusia antara 27 hingga 37 tahun dibawa ke mahkamah di Kangar pagi Rabu dimana majistret telah keluarkan perintah tahanan reman.

Siasatan adalah berkaitan pelaksanaan projek pembangunan prasarana seperti membaik-pulih, menyelenggara, perbekalan dan perkhidmatan di seluruh Perlis sejak 2022.

Ia dipercayai juga menjurus kepada tuntutan palsu terhadap kerja yang tidak dilaksanakan.

Mereka yang ditahan itu dipercayai berperanan sebagai pemilik syarikat, kontraktor dan penjawat awam di Pejabat Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pejabat Menteri Besar Perlis.

Sementara itu Menteri Besar Mohd Shukri yang ditemui wartawan selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di Kangar memberitahu beliau akan menjelaskan isu berkaitan dalam sidang DUN esok.

“Esok saya jawab dalam dewan.“Setakat itu sajalah (komen saya),” katanya.

Mohd Shukri kata beliau enggan mengulas lanjut atau masuk campur dalam siasatan itu.

“Saya tak mau komen.

“Saya serah pada budi bicara SPRM. Terima kasih,” kata pemimpin PAS itu.

Sidang DUN Perlis bermula semalam melibatkan istiadat perasmian dan persidangan penggal kedua, tanpa fokus kepada sebarang rang undang-undang khusus.- 24/4/2024

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button