FOKUS

Kawalan keselamatan di bangunan kerajaan dan tempat tumpuan kini diletak di tahap tertinggi…

Tiga kejadian dalam jarak waktu yang dekat sudah tentu mencuri perhatian ramai.

Dari kes serangan di balai polis di Ulu Tiram, kemudian cuba ceroboh di pintu pagar Istana Negara dan selepas itu kes sama di balai polis Jalan Datuk Keramat Pulau Pinang.

Sekalipun tiga kejadian ini tiada kaitan antara satu sama lain ia telah mendorong pihak berkuasa lebih berwaspada pada sebarang kemungkinan.

Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Seri Azmi Abu Kasim menerusi satu kenyataan pada Rabu beritahu kawalan keselamatan terhadap bangunan kerajaan, kawasan tumpuan awam dan kemudahan penting diletakkan pada tahap tertinggi.

Ini,katanya susulan beberapa insiden yang berlaku baru-baru ini.

Menurut Azmi pihak polis memandang serius insiden baru-baru ini yang menimbulkan kegusaran masyarakat awam serta memberi jaminan keselamatan awam di negara ini berada pada tahap terbaik dan selamat.

Dia berkata Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain telah mengarahkan semua peringkat kepimpinan PDRM dan petugas di lapangan mengambil langkah komprehensif semasa menjalankan tugas dengan mematuhi pekeliling serta prosedur operasi standard yang ditetapkan.

“Masyarakat diseru agar terus bekerjasama menyalurkan sebarang maklumat berkaitan isu keselamatan negara kepada pihak berkuasa, PDRM tidak akan bertolak ansur dengan anasir yang cuba mengancam keselamatan dan menggugat ketenteraman negara,” katanya dalam kenyataan Rabu.

Azmi berkata tindakan tegas berlandaskan undang-undang akan diambil tanpa mengira status dan latar belakang mereka yang terlibat. – 22/5/2024

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button