FOKUS

KEMASKINI : Polis sudah rekod keterangan petugas portal berbahasa Inggeris pasal dakwaan kasino di Forest City



Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain kata polis sudah rakam keterangan seorang petugas portal berbahasa Inggeris mengenai laporan yang mendakwa adanya cadangan untuk buka kasino di Forest City,Johor.

Katanya proses itu dibuat pada jam 8.30 pagi yakni lebih awal dari waktu asal yang dijadualkan pada jam 11pagi.

Beliau tidak sebut nama portal berkenaan.

Artikel berkenaan bertajuk Malaysia Mulls Casino at Forest City: Bloomberg.

“Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman merakam keterangan individu, kita juga akan memanggil beberapa lagi individu bagi membantu siasatan,” katanya. -6/5/2024

Polis rekod keterangan portal yang dakwa ada cadangan buka kasino di Forest City…

Portal berbahasa Inggeris Bloomberg kena berjawab dengan polis mengenai laporan yang mendakwa adanya cadangan untuk buka kasino di Forest City,Johor.

Tanpa menyebut nama portal berkenaan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain beritahu pengarang portal yang siar artikel berkenaan baru baru ini dipanggil beri keterangan pada Isnin ini.

Menurut beliau proses merakam keterangan itu dibuat pihak Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman kira-kira jam 11 pagi.

Katanya pada Jumaat siasatan itu dilakukan selepas satu laporan polis dibuat oleh peguam ahli perniagaan, Tan Sri Vincent Tan berhubung artikel berunsur fitnah bertajuk Malaysia Mulls Casino at Forest City: Bloomberg.

Laporan itu dibuat selepas artikel tersebut didakwa mengandungi pernyataan yang palsu, tidak benar, tidak beralasan dan tidak disahkan.

Beliau berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Razarudin kata pihak USJT juga telah melakukan janji temu bagi merakam percakapan Vincent Tan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Genting, Tan Sri Lim Kok Thay berhubung perkara itu, namun tarikh rakaman percakapan belum diperoleh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Berjaya Corp dan Genting Malaysia telah menafikan laporan Bloomberg itu.

“Lesen kasino tak betul, tak betul…itu tipu,” kata Anwar ringkas dalam reaksi awal terhadap laporan berkenaan.

Bloomberg melaporkan, Anwar menemui pengasas Berjaya Corp, Vincent Tan dan CEO Kumpulan Genting, Tan Sri Lim Kok Thay untuk membincangkan lesen kasino bagi Forest City, Johor.

Berikutan itu, Berjaya Corp berkata, penerbitan artikel yang berniat jahat itu diburukkan lagi oleh fakta yang tiada agensi berita membuat sebarang percubaan untuk mengesahkan kebenaran dan ketepatan kenyataan itu dengan pihaknya.

Anwar menegaskan mana-mana pihak yang mengaitkan beliau dan kerajaan dengan dakwaan ada perbincangan mengenai projek lesen kasino di Forest City, perlu diambil tindakan undang-undang.

Menyifatkan pihak berkenaan tiada modal berpolitik, Anwar berkata Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim tidak pernah menyebut kepada beliau minat baginda untuk mengadakan tempat perjudian di Forest City.

“Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong tidak pernah pun menyebutkan kepada saya minat untuk adakan perjudian di sana.

“Jadi (datang) dari mana? Dari penjahat-penjahat semua inilah. Mereka ini yang sepatutnya ganti bilik-bilik saya di (penjara) Sungai Buloh,” katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Pekerja 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Rabu.- 3/5/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button