Apa macam?…PM umum idea baru seorang pemimpin jaga satu kampong

Ini nampak macam idea menarik…setakat ini ia belum pernah cuba.
Cuba bayangkan situasinya jika seorang pemimpin politik dan Ketua Pegawai Esekutif syarikat berkaitan kerajaan dibagi tugas dan tanggongjawab jaga sebuah kampong.
Contohnya Datuk Seri Anwar Ibrahim jaga kampong asal usulnya yakni Cherok Tok Kun di Bukit Mertajam manakala pemimpin lain akan jaga kampong kampong yang akan ditentukan.
Perdana Menteri menyuarakan cadangan ini semasa berucap pada Majlis Kenduri Rakyat Aidilfitri Perpaduan di Galeri Pejuang Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam pada Ahad.
Kata Anwar langkah ini akan bolehkan mereka semua mengetahui secara langsung masalah yang dihadapi di kampung berkenaan.
Beliau memberitahu cadangan tersebut akan dibentangkan pada Mesyuarat Jemaah Menteri, Rabu ini.
Anwar menyifatkan cadangan tersebut merupakan cara terbaik bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi di kampung selain pegawai daerah dan kerajaan terus menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka.
“Ia akan dimulakan di Cherok Tok Kun. Anwar Ibrahim akan jaga Cherok Tok Kun di Bukit Mertajam. Bagaimana saya jaga..saya akan panggil semua wakil masyarakat di kampung itu dan dia kena bagi tahu semua masalah yang ada di situ.
“(Contoh beritahu) ada yang menggangur, ada yang tercicir, miskin tegar, ada yang rumah dia robek, kemudian ada masalah dadah, masalah jenayah, perlukan TVET (Latihan Teknikal dan Vokasional) dan semua itu dibincang oleh orang kampung dan beritahu secara langsung kepada orang yang bertanggungjawab,” katanya.
Menurutnya, cadangan setiap pemimpin menjaga satu kampung itu juga akan membuahkan hasil kerana ia akan melibatkan semua menteri, pimpinan tertinggi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan yang secara langsung mendengar masalah yang dihadapi masyarakat kampung di bawah tanggungjawabnya.
“Kalau kita ada KSN (Ketua Setiausaha Negara), setiausaha kerajaan negeri, semua ini kalau kita kumpul semua ini ada 2,000 orang yang jawatan-jawatan tinggi dan kemudian kita jemput pula syarikat-syarikat.
“Pengerusi Tenaga Nasional Berhad, pengarah eksekutif Petronas. Dia jaga kampung dia. Dia pergi situ bukan sebagai Tan Sri, dia pergi sebagai anak kampung dengar masalah orang kampung. Jadi, dia nanti cuba selesaikan, lebih senang,” katanya.
Beliau juga berkata, cadangan tersebut berikutan hasil perjumpaannya bersama pemimpin masyarakat Permatang Pauh dan Cherok Tok Kun pagi tadi.
Menyentuh mengenai subsidi kerajaan, Perdana Menteri menegaskan bahawa harga bahan api, gula dan beras di negara ini masih terkawal, malah antara yang terendah berbanding negara-negara lain berikutan subsidi yang diberikan kerajaan.
“Ingat ya. Harga minyak di Arab Saudi berapa? RM2.95, berapa di Malaysia? RM2.05 pikiaq (fikirlah), Arab Saudi itu pengeluar minyak terbesar di dunia. Dia tak boleh turun harga lebih pada itu kerana kerajaan tidak mampu. Dia terpaksa pertahankan harga.
“Maknanya harga minyak kita terkawal. Gula, kita murah daripada Siam (Thailand), murah daripada Singapura, murah daripada Indonesia. Beras murah lagi. Minyak paling murah,” katanya.
Turut hadir pada majlis berkenaan, Menteri Pendidikan. Fadhlina Sidek; Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow. – 5/4/2024