Wargaemas dihukum penjara sebulan guna gambar YDP Agong di kempen pilihanraya kecil Kuala Kubu Bharu

Tidak silapnya…ini adalah kali pertama seseorang di negara ini dikenakan hukuman atas kesalahan seumpama ini sewaktu kempen pilihanraya.
Seorang wargaemas P Ramasamy, 66 dihukum penjara sebulan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu,Hulu Selangor pada Isnin.
Tindakan itu dikenakan keatasnya kerana menggunakan gambar Yang di-Pertuan Agong ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu Sabtu lalu
P Ramasamy mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Siti Fatimah Talib yang bertindak sebagai Majistret.
Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara bermula tarikh tangkap iaitu 4 Mei lalu, dan sekiranya gagal membayar denda, dia akan dijel selama 10 bulan.
Semasa prosiding, tertuduh yang bekerja sendiri, merayu mahkamah memberikan hukuman ringan kerana tidak mengetahui bahawa tindakan berkenaan menyalahi undang-undang.
“Saya tidak tahu ia menjadi satu kesalahan, kerana mahu memeriahkan suasana PRK sahaja,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Che Wan mencadangkan, mahkamah menjatuhi tertuduh hukuman berat, sebagai pengajaran agar kejadian sama tidak berulang.
“Ia mengambil kira kes yang dilakukan, telah menghina Yang di-Pertuan Agong, ia merupakan isu sensitif dan boleh menimbulkan kemarahan seluruh rakyat,” katannya.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong di sebuah kenderaan jenis Mazda, yang juga membawa sepanduk Pakatan Harapan (PH).
Ia dengan kecenderungan untuk mengembangkan perasaan permusuhan antara golongan pengundi yang berbeza dalam PRK Kuala Kubu Baharu untuk mendorong mana-mana pengundi supaya mengundi calon daripada parti PH.
Kesalahan dibuat di kawasan Taman Bukit Nunga, Kuala Kubu Baharu pada jam 5.40 petang, pada 4 Mei lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4a (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sabtu lalu, dua lelaki diberkas selepas pacuan empat roda yang dinaiki menggunakan gambar Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ketika kempen PRK DUN KKB.
Pada pacuan empat roda itu juga dipaparkan gambar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Selain itu kenderaan itu membawa bendera Pakatan Harapan,bendera negeri Johor serta bendera Malaysia.
Perbuatan ini telah mencetuskan kontroversi politik.
Perikatan Nasional mendakwa ia satu taktik kempen kotor manakala Pakatan Harapan dakwa ia perbuatan untuk sabotaj pihaknya.- 6/5/2024
KEMASKINI : Dua orang didakwa di mahkamah hari ini kerana pamer gambar YDP Agong masa kempen PRK Kuala Kubu Bharu
Dua individu yang ditahan kerana mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada sebuah kenderaan dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) pada Ahad lepas akan didakwa di mahkamah hari ini.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata kedua-dua individu yang berusia 66 tahun akan didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu mengikut Seksyen 4A (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana mengembangkan niat jahat.
“Pertuduhan terhadap dua individu dibuat selepas kertas siasatan diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya semalam,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur.
Media sebelum ini melaporkan polis mehanan dua lelaki dan merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda kerana mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada kempen PRK DUN Kuala Kubu Baharu.
Kedua-dua individu terbabit direman tiga hari bermula 5 Mei lepas.- 6/5/2024 – Bernama
Polis rampas pacuan empat roda bawa gambar YDP Agong dan PM di kempen PRK Kuala Kubu Bharu
Ini kerja mengarut yang tidak pernah dibuat orang semasa mana mana kempen pilihanraya sebelum ini.
Perikatan Nasional dakwa ia kempen cara kotor manakala Pakatan Harapan pula dakwa ini kerja sabotaj dalam kempen pilihanraya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Bharu yang berlangsung sekarang.
Apa tidaknya…ada puak yang sudah kempen guna pacuan empat roda bawa ke hulu ke hilir potret Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan bendera Pakatan Harapan.
Polis telah bertindak merampas pacuan empat roda itu.
Selain itu dua lelaki dalam usia 60han ditahan.
Semasa berita ini ditulis awal Ahad malam belum diketahui dua lelaki berkenaan dari puak mana.- 5/5/2024