TERKINI: Empat ditahan kes lempar bom petrol pada sebuah pusat hiburan…bukan unsur ekstremisme

Pada petang Jumaat polis menahan dua lelaki di Batu Caves bagi membantu siasatan berkaitan kes lempar bom petrol sebuah pusat hiburan di Jalan Yap Kwan Seng,Kuala Lumpur awal pagi Khamis.
Manakala awal pagi ini,Sabtu dua lagi ditahan.
Semua empat lelaki itu berusia antara 25 hingga 28 tahun.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa memberitahu menerusi satu kenyataan Sabtu kesemua mereka direman selama empat hari bermula hari ini sehingga Selasa hadapan.
Katanya polis masih menyiasat motif suspek membaling bom petrol pada pusat hiburan berkenaan.
Namun Rusdi menafikan kejadian tersebut mempunyai kaitan dengan sebarang unsur ekstremisme.- 11/4/2024
KEMASKINI: Dua lelaki ditahan kes lempar bom petrol di pusat hiburan…bukan unsur ekstremisme
Dua lelaki ditahan di Batu Caves pada petang Jumaat bagi membantu siasatan berkaitan kes lempar bom petrol sebuah pusat hiburan di Jalan Yap Kwan Seng,Kuala Lumpur awal pagi Khamis.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata kedua-dua lelaki tempatan berkenaan yang berusia 25 tahun ditahan pukul 3 petang di sebuah rumah.
“Kita akan mengemukakan perintah reman terhadap kedua-dua suspek terbabit esok,”katanya.
Menurutnya berdasarkan siasatan awal, kejadian berkenaan tidak melibatkan sebarang unsur ekstremisme.
Beliau ditemui pada Majlis Hari Raya Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di Kuala Lumpur.
Rusdi berkata pihaknya juga telah mengambil keterangan pemilik premis dan pengurus pusat hiburan berkenaan bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah,” katanya.
Pada Jumaat tular video melalui media sosial rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan empat individu menaiki motosikal membaling bom petrol di hadapan pusat hiburan terbabit.
Perbuatan itu telah akibatkan berlaku kebakaran kecil di bahagian depan premis berkenaan.- 11/4/2024
Kejadian lempar bom petrol pada sebuah pusat hiburan di Kuala Lumpur…
Empat orang yang tidak dikenali telah melempar dipercayai bom petrol pada sebuah pusat hiburan di Jalan Yap Kwan Seng,Kuala Lumpur awal pagi Khamis 9 Mei.
perbuatan itu telah mengakibatkan berlaku kebakaran kecil di bahagian depan pusat hiburan berkenaan.
Berdasarkan rakaman CCTV kejadian berlaku pada jam 2.18 pagi.
Rakaman CCTV berdurasi 45 saat itu tular di media sosial.
Rakaman itu menunjukkan empat lelaki menaiki dua motosikal berhenti di hadapan premis terbabit dan membaling dua bom petrol sebelum beredar dari lokasi kejadian.
Selain itu ia menunjukkan premis berkenaan terbakar dengan terdapat orang awam membantu memadamkan kebakaran.
Timbalan Ketua Polis daerah Dang Wangi Nazron Yusof sahkan terima laporan mengenai kejadian berkenaan.
“Kita ada menerima laporan berhubung kejadian itu dan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat dengan api.
“Siasatan lanjut berhubung kes ini sedang dijalankan. Berdasarkan rakaman CCTV itu, kejadian berlaku jam 2.18 pagi tadi tetapi masa sebenar kejadian masih disiasat,” katanya.- 10/4/2024